INSTITUSI diraja bukan dimiliki oleh mana-mana parti politik. Ia raja kepada seluruh rakyat. Kata-kata adat berbunyi:
Bendang diteroka,
Ruyung dibelah,
Raja bertakhta,
Rakyat menyembah.
Sikap ambil berat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada rakyat jelata termasuklah dalam soal pembukaan sidang Parlimen bukan berlaku hari ini sahaja.
Kedekatan Tuanku dengan rakyat telah lama sebati dalam diri Seri Paduka. Ketika berkenan mendayung sampan meredah banjir serta meranduk air disertai Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meninjau mangsa banjir di Pekan, Pahang pada 14 Januari lalu, rakyat akui itulah gambaran keperibadian Seri Paduka berdua.
Tuanku sebenarnya mencontohi teladan Almarhum ayahanda, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar. Didikan itulah yang terbawa-bawa oleh Al-Sultan Abdullah sehingga menyandang Yang di-Pertuan Agong. Semasa kemalangan berlaku berhampiran plaza tol lebuhraya MEX Putrajaya pada 29 Januari 2020, Seri Paduka yang ketika itu dalam perjalanan ke program Majlis Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, cukup prihatin, sambil menuruni kenderaan rasmi Seri Paduka untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat.
Demikian juga dengan keperibadian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang tidak sabar-sabar hendak bertemu rakyat di semua daerah menerusi Kembara Mahkota Johor (KMJ).
“Mak! Mak! Sultan Johor datang,” suara seorang gadis yang terakam dalam video dikongsikan di Facebook Sultan Ibrahim Official – mengejutkan penduduk Kampung Lepau, Kota Tinggi pada 6 Februari 2016 apabila tiba-tiba Sultan Ibrahim muncul tanpa sebarang pemberitahuan.
Dalam video berkenaan, baginda turut menyapa tiga wanita yang sedang berehat di pangkin luar rumah dan turut berkenan bersalaman dengan bayi yang didukung oleh salah seorang mereka selain berhenti di sebuah kedai runcit. Penduduk Kampung Lepau sebenarnya sudah terbiasa dengan sifat rendah diri baginda yang sememangnya dikenali gemar mendekati penduduk kampung tersebut apabila bercuti di Sebana Cove berdekatan.
BERPISAH TIADA
Benarlah rakyat dan raja berpisah tiada. Rakyat sudah ikut segala rancangan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19. Namun, tidak banyak penurunan kes dan ‘yang salahnya rakyat.’ Padahal, sebahagian besar rakyat waktu ini menyandarkan harapan cukup tinggi kepada kerajaan untuk membantu dan melindungi mereka.
Rakyat kini kelemasan dalam lautan dan akan mencapai apa sahaja untuk berenang ke tepian. Tidak banyak sebenarnya boleh disandarkan harapan kepada wakil rakyat yang sibuk berpolitik demi kepentingan diri masing-masing. Yang berkuasa sibuk hendak kekalkan kuasa, pembangkang pula asyik mahu membolot kuasa.
Maka sekaranglah masanya untuk rakyat memperkukuh dan memartabatkan institusi raja-raja sebagai menunjukkan, menzahir serta membuktikan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan istana dalam membantu rakyat.
Elok kita renungi ungkapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak Ke-14 di Istana Iskandariah pada 10 Disember tahun lalu.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin mengingatkan pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.
“Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.
“Watak sebenar insan akan terpamer apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin lagi, punca kuasa dimiliki bersumberkan Allah SWT akan mengabdikan seluruh kesetiaan kepada Ilahi dan:
“Seseorang pemimpin akan cekal menegakkan yang makruf, tegas menentang yang mungkar, kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada Ilahi. Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan. Begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian teramat rapuh sifatnya.”
Rakyat mengharap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dapat mencari formula dengan mewujudkan sebuah kerajaan lebih stabil, kompeten yang bukan sahaja dapat memberi keyakinan kepada rakyat dalam menyelesaikan kemelut pandemik Covid-19 tetapi juga dapat memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur luar ke negara ini.
Daulat Tuanku!
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










