Todak Culture pilih Ashraf Anuar bukan kerana populariti - Utusan Malaysia

Todak Culture pilih Ashraf Anuar bukan kerana populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilihan usahawan dan pempengaruh, Ashraf Anuar untuk tampil di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 bersama Todak Culture bukan didorong faktor populariti semata-mata.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Todak Culture, Nurul Hakimi Haque berkata, pemilihan Ashraf dibuat berdasarkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara mereka.

Menurut beliau, penampilan Ashraf memperagakan koleksi terbaharu Todak Culture pada acara berkenaan juga cukup istimewa kerana ia merupakan pengalaman pertama personaliti tersebut berjalan di pentas peragaan bagi sesebuah jenama.

“Hubungan kami dengan Ashraf sudah lama terjalin dan kami sentiasa saling menyokong antara satu sama lain. Ini juga kali pertama Todak mengeluarkan koleksi ‘streetwear’ dan kami memerlukan kekuatan yang ada pada Ashraf.

“KLFW pula menghimpunkan pelbagai jenama tempatan dan atas sebab itu kami menjemput Ashraf untuk bersama-sama kami. Saya difahamkan dia juga belum pernah ‘catwalk’ untuk mana-mana jenama sebelum ini. Jadi, kami sangat berbesar hati apabila dia bersetuju untuk berjalan di pentas bagi pihak Todak,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Hakimi berkata, Todak Culture mempunyai sasaran pasaran tersendiri meskipun jenama berkenaan sememangnya dikenali menerusi koleksi ‘streetwear’.

Katanya, Todak Culture mahu mendekati golongan pemain permainan video yang turut mempunyai minat terhadap fesyen atau dikenali sebagai ‘fashionable gamers’.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan golongan ‘gamers’ juga boleh bergaya dan berfesyen, tanpa mengira permainan video yang mereka minati.

“Pada masa sama, kami mahu meraikan dunia fesyen dan memberikan ruang kepada komuniti ini untuk menzahirkan kreativiti mereka seiring perkembangan fesyen semasa.

“Jadi, tidak timbul soal menunggang populariti Ashraf. Kami mahu membina kerjasama yang lebih rapat dengan jenama-jenama tempatan dan berharap dapat menjalinkan lebih banyak kolaborasi pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, dia berkata, kerjasama bersama Ashraf menjadi antara langkah Todak Culture dalam memperluaskan penglibatan jenama itu dalam industri fesyen tempatan.

“Kami mulakan projek ini bersama Ashraf. Sebelum ini, kami juga pernah bekerjasama dengan jenama lain, namun kolaborasi bersama Ashraf menjadi antara contoh utama bersempena KLFW 2026.

“Kami masing-masing mempunyai matlamat tersendiri dan melihat perkembangan yang positif untuk meneruskan kerjasama pada masa depan. Sebab itu momen ini dapat direalisasikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×