Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling serta seluruh warga sekolah yang terkesan dengan tragedi yang amat menyayat hati ini. Kami mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
iGuru menyambut baik keprihatinan Menteri Pendidikan yang telah menziarahi keluarga mendiang serta usaha Kementerian Pendidikan dalam menyediakan sokongan kebajikan dan psikososial kepada keluarga serta warga sekolah yang terkesan.
Pada masa yang sama, iGuru menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia.
Semua pihak perlu mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menambahkan penderitaan keluarga.
Tragedi ini perlu menjadi titik perubahan kepada usaha memperkukuh kesejahteraan mental warga pendidikan. Guru merupakan aset terpenting negara yang bukan sahaja memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa, malah berhadapan dengan pelbagai cabaran profesional, emosi dan sosial yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, iGuru mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pendidikan
*Menggubal Dasar Kesejahteraan Mental Warga Pendidikan sebagai dasar rasmi KPM yang memberi fokus kepada pencegahan, intervensi dan pemulihan.
*Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kesejahteraan Warga Pendidikan yang dianggotai oleh Kementerian Pendidikan Kementerian Kesihatan , pakar psikiatri, ahli psikologi, kaunselor, wakil kesatuan guru, NGO pendidikan dan ahli akademik. Jawatankuasa ini berperanan memantau tahap kesejahteraan guru, mengkaji faktor risiko, menilai keberkesanan dasar serta mengemukakan syor penambahbaikan secara berkala.
*Mewujudkan Indeks Kesejahteraan Guru Malaysia sebagai instrumen tahunan bagi mengukur tahap kesejahteraan mental, tekanan kerja, kepuasan kerjaya dan keseimbangan kehidupan-kerjaya warga pendidikan. Data ini penting sebagai asas kepada penggubalan dasar yang berasaskan bukti (evidence-based policy).
*Melaksanakan saringan kesejahteraan mental secara berkala kepada guru dan pemimpin sekolah dengan pendekatan yang profesional, sulit serta bebas stigma.
*Memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling melalui penempatan lebih ramai pegawai psikologi serta penyediaan talian bantuan khas untuk warga pendidikan.
*Menubuhkan Pasukan Intervensi Krisis Kementerian Pendidikan yang boleh digerakkan segera apabila berlaku insiden melibatkan guru atau murid bagi memberikan sokongan psikososial kepada seluruh komuniti sekolah.
*Mengurangkan beban tugas bukan pengajaran melalui semakan semula tugasan pentadbiran, pelaporan dan dokumentasi yang tidak memberi impak langsung kepada pembelajaran murid.
* Memberikan latihan kepada semua pemimpin sekolah bagi mengenal pasti tanda awal tekanan emosi, keletihan melampau (burnout), kemurungan dan risiko psikososial dalam kalangan guru.
* Memperkukuh Program Rakan Sokongan Guru di semua sekolah supaya guru mempunyai sistem sokongan yang lebih dekat, mudah diakses dan berkesan.
*Mengisytiharkan Tahun 2027 sebagai “Tahun Kesejahteraan Warga Pendidikan” dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional Kesejahteraan Warga Pendidikan yang merangkumi aspek kesihatan mental, pengurangan beban tugas, pembangunan kepimpinan penyayang, keseimbangan kehidupan-kerjaya serta budaya kerja yang lebih sihat dan lestari.
iGuru percaya bahawa kesejahteraan mental guru bukan sekadar isu kebajikan, bahkan merupakan asas kepada kecemerlangan sistem pendidikan negara. Guru yang sejahtera akan dapat melaksanakan amanah pendidikan dengan lebih berkesan serta membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Akhir sekali, iGuru menyeru seluruh warga pendidikan agar terus saling mengambil berat antara satu sama lain. Bertanyalah khabar rakan sekerja, hulurkan sokongan kepada mereka yang memerlukan, dan bina budaya kerja yang berteraskan empati, ihsan dan saling memperkukuh.
Semoga tragedi ini menjadi titik perubahan kepada pembinaan sistem pendidikan yang bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, tetapi turut mengangkat kesejahteraan dan kemuliaan profesion perguruan sebagai keutamaan negara.
Mohd Azizee Hasan
Presiden
Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru)











