Pokok sawit ditanam dalam hutan simpan dimusnahkan

Pokok sawit ditanam dalam hutan simpan dimusnahkan

MOHD. Yusainy Md. Yusop (kiri) turut menyertai operasi memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam tanpa kebenaran di HSK Triang, Jelebu, hari ini.-FACEBOOK JABATAN PERHUTANAN NEGERI SEMBILAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sebanyak 300 pokok kelapa sawit yang ditanam tanpa kebenaran dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Triang, di sini, dimusnahkan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan menerusi Operasi Musnah hari ini.

Pengarah Perhutan Negeri Sembilan, Ts. Mohd. Yussainy Md. Yusop berkata, operasi tersebut susulan penangkapan seorang warga Indonesia yang didakwa melanggar Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki kawasan hutan simpan tertutup tanpa kebenaran pada Julai lalu.

“Pokok kelapa sawit yang dimusnahkan berusia antara dua minggu hingga setahun serta kawasan berkenaan akan dipulihkan dengan penamanan spesies pokok hutan.

“Antara spesies yang ditanam ialah Chengal, Merawan Siput Jantan, Meranti Melantai dan Meranti Temak Nipis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Yusainy berkata, operasi berkenaan membabitkan hampir 200 anggota termasuk pelatih daripada Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN).

Beliau berkata, selain memusnahkan tanaman kelapa sawit berkenaan, pihak jabatan turut menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan tanda sempadan serta memasang papan tanda bagi mencegah pencerobohan berulang.

“Langkah ini penting bagi memastikan kawasan HSK  Triang terus dilindungi dan tidak diceroboh untuk tujuan penanaman tanpa kebenaran,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×