SELEPAS tayangan akhir Piala Dunia antara Argentina dengan Sepanyol melalui skrin gergasi di Dataran Merdeka, suasana selepas acara tersebut mencetuskan rasa kecewa apabila kawasan padang rumput dipenuhi sampah yang ditinggalkan penonton.
Ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan akhirnya meninggalkan pelbagai jenis sisa seperti bekas makanan, minuman, tikar plastik dan objek lain yang digunakan sebagai alas tempat duduk.
Turut kelihatan beberapa kerusi yang dipercayai milik penganjur di bawah kanopi telah dialihkan ke kawasan padang, selain kerusi persendirian yang sengaja ditinggalkan begitu sahaja selepas acara berakhir.
Situasi ini memberi gambaran seolah-olah masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang menghayati kepentingan menjaga kebersihan ruang awam.
Walaupun kejadian seperti ini hanya berlaku ketika acara tertentu yang melibatkan kehadiran ramai orang, namun imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara turut terjejas apabila kawasan tumpuan awam dipenuhi sampah sarap.
Persoalannya, mengapa perkara sebegini masih berulang? Adakah ia mencerminkan tahap kesedaran sivik yang masih rendah dalam kalangan sesetengah masyarakat atau kegagalan membentuk budaya menjaga kebersihan sejak awal?
Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, beberapa langkah perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur serta agensi berkaitan.
Antaranya, penganjur perlu membuat hebahan awal melalui media sosial dan saluran rasmi supaya pengunjung membawa beg sampah sendiri bagi menguruskan sisa peribadi sebelum membuangnya ke tempat yang disediakan.
Selain itu, penyediaan tong sampah perlu dipertingkatkan dengan jumlah yang mencukupi serta diletakkan di lokasi strategik yang mudah dilihat dan dicapai.
Tong sampah tidak seharusnya hanya ditempatkan di sudut tertentu, sebaliknya perlu disusun di beberapa kawasan tumpuan supaya pengunjung lebih mudah menggunakannya.
Penganjur juga boleh memanfaatkan skrin besar untuk menyampaikan peringatan berkaitan kebersihan sepanjang acara berlangsung. Mesej ringkas seperti “Orang berakhlak mulia menjaga kebersihan” atau “Jangan kotorkan bandar raya kita” mampu menyemai kesedaran dalam kalangan pengunjung.
Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi mencerminkan nilai diri dan tahap peradaban masyarakat.
Sikap menjaga persekitaran perlu menjadi budaya agar setiap acara yang dianjurkan meninggalkan kenangan manis, bukan meninggalkan longgokan sampah.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










