RCI Tabung Haji: UMNO tidak pernah nafi, tutup kelemahan dan salah laku

RCI Tabung Haji: UMNO tidak pernah nafi, tutup kelemahan dan salah laku

ASYRAF Wajdi Dusuki (tengah) semasa sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung UMNO Bahagian Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO tidak pernah menafikan, menutup sebarang kelemahan atau membela sebarang salah laku dalam Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkannya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejak awal kepemimpinan parti itu menyatakan kesediaan mengambil tindakan sekiranya terbukti ada salah laku.

Katanya, jika benar terdapat rasuah atau ‘sakau’ yang disebutkan, sepatutnya 2018 merupakan waktu terbaik untuk RCI Tabung Haji didedahkan dan tidak perlu menunggu sehingga sembilan tahun.

“Kenapa sudah hampir sembilan tahun, tidak ada seorangpun kena dakwa? Jika benar ada salah laku, ada rasuah atau ada sebarang bentuk penyelewengan, ambil tindakan dan jangan hanya bermain persepsi.

“Jangan ada siapapun terkecuali, sama ada orang besar mahupun orang yang kecil. Itu yang paling penting. Jika ada tadbir urus yang perlu diperbaiki, maka perbaikilah,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu Tahun 2026, di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, siasatan dan kajian RCI Tabung Haji juga tidak sepatutnya terhad sehingga 2020 sahaja tetapi mesti diperluas selepas tempoh itu.

Katanya, ini kerana banyak faktor lain harus diambil kira dan tidak boleh hanya membandingkan sebelum kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya rasa perkara ini penting dan perlu dititikberatkan supaya rakyat dapat maklumat yang sebenar,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO perlu mengakui kegagalannya dalam aspek tadbir urus Tabung Haji ketika parti itu menerajui kerajaan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perkara itu perlu dilakukan susulan pendedahan laporan RCI berkaitan pengurusan, operasi dan kewangan Tabung Haji yang mencetuskan semula perdebatan mengenai tadbir urus institusi berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×