Aqasha fokus Hang Tuah, tolak tawaran lain - Utusan Malaysia

Aqasha fokus Hang Tuah, tolak tawaran lain

Aqasha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktor terkenal, Aqasha terpaksa menolak sebahagian besar naskhah yang ditawarkan kepada beliau untuk memberi tumpuan kepada watak Hang Tuah dalam pementasan teater muzikal, Puteri Gunung Ledang (PGL).

Aqasha, 43, berkata, pementasan yang dijadualkan bermula pada Oktober depan itu menuntut persiapan intensif menerusi jadual yang padat lantas membuatkan beliau terpaksa menolak tawaran drama dan filem lain.

“Saya terpaksa membuat keputusan itu kerana keperluan mengikuti jadual harian yang padat. Ini dilakukan agar setiap pelakon dapat fokus terhadap watak masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persiapannya rapi, banyak kelas yang dianjurkan antaranya kardiovaskular, latihan vokal dan penafasan yang menjadi keperluan bagi memastikan persembahan menjadi konsisten.

“Jadi, saya rasa memang tidak ruang untuk saya mengikuti penggambaran lain. Semua tawaran itu terpaksa dikorbankan demi PGL. Hang Tuah ‘demand’ sedikitlah,” katanya.

Pemilik nama sebenar Firdee Akassya Rosli itu memberitahu yang beliau kini sedang berusaha untuk menambah berat badan bagi mendapatkan fizikal yang tegap untuk watak berkenaan.

“Tiada adegan buka baju dalam PGL namun saya perlu mendapatkan badan yang sedikit berotot untuk tampil dalam watak pendekar.

“Selain itu, Hang Tuah tidak mungkin memakai rambut palsu oleh yang demikian saya memilih untuk memanjangkan rambut.

“Pada masa yang sama, saya perlu memantapkan kecergasan untuk memastikan semua adegan fizikal dapat dijayakan dengan baik,” ujarnya.

PGL, produk dihasilkan syarikat produksi Enfiniti akan dipersembahkan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.

Ia turut menampilkan Aisha Retno, Mila Mohsin, Mimi Fly, dan Nadia Aqilah, Luqman Hafidz serta Yusof Hashim.

Jualan tiket bermula 18 Ogos ini bagi pembelian eksklusif  pemegang kad AFFIN selama 72 jam bermula pukul 8 malam manakala kepada orang ramai dibuka pada 21 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×