Aveta perkenal Vanguard 180 - Utusan Malaysia

Aveta perkenal Vanguard 180

AVETA Vanguard 180 diperkenalkan hasil kajian pasaran berterusan dan maklum balas daripada penunggang yang mahukan model sama dengan Vanguard 250 tapi dengan kapasiti enjin lebih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas kejayaan menghasilkan jualan lebih 5,000 skuter Vanguard 250 sejak dilancarkan pada Januari tahun lalu, kini muncul ‘adik’ kepada model itu, iaitu Vanguard 180.

Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata, model baharu tersebut masih mengekalkan reka bentuk tersendiri Vanguard, tahap keselesaan dan karakter berinspirasikan pengembaraan, namun lebih mudah dikendalikan serta lebih sesuai untuk kegunaan harian.

Menurutnya, Vanguard 180 diperkenalkan hasil kajian pasaran berterusan dan maklum balas daripada penunggang yang mahukan model sama dengan kapasiti enjin lebih kecil.

“Kita keluarkan produk seperti apa yang pelanggan mahu. Apabila berkumpul bersama mereka, kita dengar perasaan mereka, apa yang mereka suka dan tidak suka.

“Harga bukan faktor utama sebaliknya apa yang penting adalah memperkenalkan produk yang benar-benar memenuhi pasaran dan kehendak pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan Vanguard 180 di sini, semalam.

Vanguard 180 dikuasakan oleh enjin 174 cc sejukan cecair dengan transmisi automatik CVT.

Skuter ini sesuai untuk pelbagai kegunaan termasuk perjalanan dalam bandar, lebuh raya dan tunggangan pada hujung minggu.

Ia dijual pada harga RM9,398 dan RM9,698 bagi siri Explorer Pack, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Dalam majlis sama, Aveta turut memperkenalkan model Vanguard 250 Edisi Terhad yang dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu hanya 688 unit.

Setiap unit dilengkapi nombor siri individu yang mengesahkan keunikannya dalam pengeluaran.

Vanguard 250 Edisi Terhad dijual pada harga RM17,188 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×