PETALING JAYA: Kumpulan pop wanita Dolla kembali dengan single terbaharu berjudul G.O.A.T sebuah kolaborasi Dolla dengan ikon rap Thailand, F.Hero mencerminkan anspirasi untuk mengembangkan pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.
Menerusi kenyataan, lagu itu diterbitkan oleh penerbit dari Norway, Gun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan lagu I AM dan Kitsch nyanyian IVE. Karya tersebut menggabungkan elemen pop dan rap dengan mesej mengenai keyakinan diri serta keberanian menjadi diri sendiri.

Menurut Dolla, Kolaborasi bersama F.Hero turut menjadi satu langkah penting dalam usaha DOLLA mengembangkan sayap ke Thailand, antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara.
Menurut DOLLA, kerjasama bersama F.Hero menjadi langkah penting dalam usaha memperluaskan pengaruh kumpulan itu ke pasaran Thailand dan Asia Tenggara.
“Bekerjasama dengan F.Hero merupakan pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya berani dan penuh karakter, selari dengan arah baharu yang ingin kami tampilkan menerusi G.O.A.T.
“Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin manakala F.Hero membawa tenaga yang lebih kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi dimensi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Selain lagu, DOLLA turut tampil dengan konsep visual yang lebih berani, meninggalkan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini bagi mencerminkan identiti baharu kumpulan tersebut.
Menurut DOLLA, G.O.A.T menjadi permulaan kepada fasa baharu yang akan menampilkan lebih banyak karya serta persembahan pada masa akan datang.
“Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris pada Oktober ini, yang merupakan satu lagi pencapaian penting buat DOLLA,” katanya.











