Bedah lutut tetap hadir mengundi - Utusan Malaysia

Bedah lutut tetap hadir mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesedaran menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak menghalang Istiadziah Ishak, 57, untuk keluar mengundi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato’ Klana Petra Maamor di Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini.

Sekalipun berdepan masalah ligamen pada sendi lutut kirinya, penjawat awam itu tidak mahu terlepas peluang untuk menunaikan tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.

Dia berkata, tidak boleh berdiri terlalu lama dan perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan menjalani urusan harian.

“Saya didiagnos ACL, MCL dan PCL. Tiga daripada empat ligamen utama pada sendi lutut yang menghubungkan tulang paha dan tulang kering, ketiga-ketiganya berfungsi menjaga kestabilan lutut.

“Saya jatuh masa bekerja sehingga lutut perlu dibedah di Hospital Serdang. Saya datang bersama suami dan dibantu petugas SPR,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Istiadziah yang membesar di Kampung Jiboi Baharu itu memberitahu penduduk di negeri ini sememangnya mempunyai semangat kebersamaan yang tinggi atau lebih dikenali sebagai ‘semangat anak nogori’.

Sebab itu, katanya, rata-rata sudah mempunyai pilihan untuk mengundi dan tidak akan termakan dengan sebarang provokasi di saat-saat akhir.

“Suruhlah kami undi mana-mana calon, kami sudah mempunyai pilihan sendiri. Kami tahu siapa yang buat kerja dan siapa yag datang Ketika musim kempen pilihan raya sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×