ARAU: Pas Perlis mengecam sekeras-kerasnya hantaran media sosial yang didakwa berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan darjah kebesaran dan pingat kebesaran negeri.
Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil berkata, Pas tidak pernah sesekali bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan menerusi hantaran tersebut yang dilihat tidak menghormati institusi diraja sebagai payung kepada rakyat negeri ini.
Katanya, beliau tidak mengenali sejauh mana individu yang membuat hantaran itu, namun kenyataan tersebut tidak seharusnya keluar daripada seseorang individu yang waras dan disifatkan cukup keterlaluan dan biadab.
“Walau siapa pun, anak siapa pun, kenyataan seperti itu tidak dapat diterima oleh sesiapa pun. Saya tegaskan kenyataan dia memang ditentang habis-habisan oleh Pas khususnya di atas jawatan saya sebagai Ketua Dewan Ulama Pas Perlis,” katanya ketika ditemui selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung hantaran di media sosial didakwa berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis yang merujuk kepada pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Ahmad Adnan bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis.
Ahmad Adnan berkata, beliau juga pada awalnya enggan melayan isu ditimbulkan itu namun terpanggil untuk membuat laporan polis atas dasar tanggungjawab bagi mempertahankan agama dan institusi diraja.
“Kalau betul dia adalah ahli dan ada jawatan dalam Pas, saya berpandangan wajib kena bagi amaran tegas kerana ini bukan berkaitan parti sahaja tapi melibatkan institusi diraja yang selama ini sangat dihormati di Perlis,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, beliau mendapat penganugerahan pingat adalah atas sumbangan sebelum ini yang terlibat sebagai Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Perlis dan merupakan salah seorang penceramah bertauliah di negeri ini.
Beliau juga berkeyakinan kepimpinan Pas Pusat akan tegas dalam isu berkenaan bagi mempertahankan institusi diraja negeri ini. –UTUSAN










