Harga MSM tinggi dijangka pacu prestasi syarikat perladangan - Utusan Malaysia

Harga MSM tinggi dijangka pacu prestasi syarikat perladangan

PROSPEK sektor perladangan kekal positif dengan unjuran harga purata MSM bagi tahun kalendar 2026 dikekalkan pada RM4,300 satu tan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi kewangan syarikat-syarikat perladangan bagi suku kedua 2026 dijangka kekal menggalakkan, disokong oleh peningkatan harga purata minyak sawit mentah (MSM), meskipun pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan MSM menunjukkan penyusutan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut MBSB Research, harga purata MSM yang direalisasikan sepanjang suku tersebut dianggarkan mencecah RM4,519 satu tan, sekaligus membantu mengimbangi kesan pengeluaran yang lebih rendah dalam kalangan beberapa syarikat perladangan utama.

“Sehubungan itu, prospek sektor perladangan kekal positif dengan unjuran harga purata MSM bagi tahun kalendar 2026 dikekalkan pada RM4,300 satu tan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran FFB negara berjumlah 2.4 juta tan pada suku kedua 26, meningkat 12.4 peratus berbanding suku sebelumnya, namun merosot 9.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, pengeluaran MSM turut menurun kepada 4.8 juta tan, susut 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, walaupun meningkat 12.9 peratus berbanding suku pertama 2026.

Bagaimanapun, prestasi syarikat-syarikat perladangan yang mempunyai operasi di Indonesia dilihat lebih kukuh berikutan pengeluaran yang lebih stabil di negara berkenaan.

Antara syarikat yang mencatatkan pengeluaran lebih rendah ialah TSH Resources yang merekodkan penurunan pengeluaran MSM sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun, manakala pengeluaran bagi separuh pertama 2026 menyusut 6.7 peratus berikutan asas perbandingan yang tinggi serta keadaan ladang yang lebih perlahan di beberapa kawasan di Kalimantan.

MBSB Research berkata, walaupun harga MSM yang lebih tinggi dijangka menyokong keuntungan syarikat, margin operasi sektor huluan masih berdepan tekanan disebabkan kos pengeluaran yang kekal tinggi.

“Harga baja yang masih berada di atas paras tahun lalu terus menjadi faktor utama peningkatan kos, meskipun menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan.

“Kos pengeluaran industri dianggarkan kekal sekitar RM2,500 hingga RM2,600 satu tan, dengan harga purata baja DAP, Urea dan Potash masing-masing meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Selain itu, syarikat perladangan hiliran turut berdepan cabaran akibat kos penghantaran dan insurans yang masih tinggi susulan ketegangan geopolitik di Selat Hormuz,” katanya. 

Secara keseluruhannya, sektor perladangan dijangka terus mencatat prestasi yang stabil pada suku kedua 2026, dipacu oleh harga MSM yang kekal kukuh, walaupun berhadapan dengan cabaran daripada kos operasi yang tinggi dan pertumbuhan pengeluaran yang masih perlahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN