PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta orang pada 2026 berbanding 34.2 juta orang pada 2025 dengan kadar pertumbuhan penduduk sebanyak 0.5 peratus, menurut laporan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2026.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah penduduk warganegara meningkat kepada 31 juta orang pada 2026 daripada 30.8 juta orang pada tahun sebelumnya, dengan kadar pertumbuhan kekal pada 0.6 peratus.
“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan penduduk bukan warganegara merekodkan penguncupan masing-masing sebanyak 0.5 peratus pada 2025 dan 0.2 peratus pada 2026.
“Di peringkat negeri, Terengganu merekodkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi melepasi paras nasional iaitu 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus), Selangor (0.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.6 peratus) dan Pahang (0.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, Selangor kekal sebagai negeri dengan peratusan penduduk tertinggi pada 2026 iaitu 21.7 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus).
“Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan peratusan penduduk terendah masing-masing sebanyak 0.3 peratus dan 0.4 peratus.
“Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 21.2 peratus pada 2026 berbanding 21.6 peratus pada 2025.
“Bagi kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun, komposisinya kekal pada 70.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh sama, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus,” katanya.
Menurut DOSM, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan komposisi penduduk umur muda tertinggi pada 2026 iaitu 31.4 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja tertinggi sebanyak 76.0 peratus.
“Sebanyak 12 negeri telah mencapai status negeri menua dengan Perak kekal merekodkan komposisi penduduk umur tua tertinggi iaitu 10.8 peratus.
“Sesebuah negeri ditakrifkan sebagai negeri menua apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih melebihi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
“Selaras perubahan struktur umur penduduk, umur penengah penduduk Malaysia meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun pada tahun sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, komposisi penduduk warganegara meningkat sedikit kepada 90.2 peratus pada 2026 berbanding 90.1 peratus pada 2025, manakala komposisi penduduk bukan warganegara menurun kepada 9.8 peratus daripada 9.9 peratus.
DOSM berkata, komposisi penduduk warganegara mengikut etnik pada 2026 menunjukkan Bumiputera kekal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 70.7 peratus, merangkumi etnik Melayu (58.4 peratus) dan Bumiputera Lain (12.3 peratus).
“Berbanding tahun sebelumnya, komposisi kedua-dua kumpulan etnik itu meningkat sebanyak 0.1 mata peratus.
“Komposisi etnik Cina pula menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 22.0 peratus berbanding 22.2 peratus pada 2025, manakala komposisi etnik India dan lain-lain kekal masing-masing pada 6.5 peratus dan 0.8 peratus,” katanya.
Tambahnya, jumlah penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta orang pada 2026 berbanding 17.9 juta orang pada 2025, manakala penduduk perempuan meningkat kepada 16.4 juta orang daripada 16.3 juta orang dalam tempoh sama. –UTUSAN










