KOTA BHARU: Margin keuntungan perniagaan terlalu kecil menjadi antara faktor utama sebahagian besar majikan di negeri ini berdepan kesukaran untuk membayar gaji lebih setimpal kepada pekerja.
Pengarah Koperasi Dewan Melayu Kelantan, Dr. Mohd. Fazlan Ghazali berkata, kebanyakan peniaga masih terikat dengan persaingan harga yang sengit sehingga berlumba-lumba menjual produk pada harga serendah bagi menarik pelanggan.
Katanya, amalan itu menyebabkan keuntungan diperoleh terlalu kecil dan mengehadkan kemampuan majikan meningkatkan gaji pekerja.
“Kalau semua berlumba-lumba jual murah, keuntungan tidak besar. Bila keuntungan kecil, bagaimana majikan hendak memberi gaji minimum yang lebih baik kepada pekerja.
“Di Kelantan, kos hidup memang lebih rendah berbanding negeri-negeri lain. Sebab itu harga makanan dan barangan juga lebih murah, namun keadaan itu memberi kesan kepada pendapatan peniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah di negara ini masing-masing sebanyak RM1,827, RM1,855 dan RM2,082 setakat Mac tahun ini.
Selain itu, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada RM4,527, diikuti Selangor (RM3,445) dan Pulau Pinang (RM3,064).
Mohd. Fazlan memberitahu, kebanyakan peniaga sebenarnya mahu menawarkan gaji, perkhidmatan dan produk terbaik kepada pelanggan, namun keadaan ekonomi semasa tidak menyokong perkembangan perniagaan secara menyeluruh.
Katanya, kuasa beli rakyat yang masih rendah turut memberi kesan apabila pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja, sekali gus mengehadkan pertumbuhan perniagaan.
“Masalahnya sekarang, orang berniaga lebih ramai daripada orang membeli. Perniagaan yang masih bergerak ialah sektor keperluan asas seperti makanan, barang runcit, ayam, ikan dan daging.
“Kalau kita lihat di pasar atau kedai makan, di situlah boleh dinilai keadaan sebenar ekonomi rakyat,” katanya.
Mohd. Fazlan berkata, hanya syarikat atau perniagaan yang mempunyai margin keuntungan tinggi seperti kedai emas berupaya menawarkan kadar gaji lebih baik.
Katanya, perusahaan kecil dan sederhana yang bergantung kepada keuntungan tipis berdepan tekanan kos operasi termasuk sewa premis.
“Kalau pelanggan tidak datang membeli, bagaimana mereka hendak bertahan. Sebab itu bukan semua majikan mampu membayar gaji yang tinggi.
“Faktor luaran seperti harga barang memberi tekanan kepada ekonomi dan Kelantan memerlukan lebih banyak peluang pelaburan bagi merancakkan aktiviti ekonomi,” katanya.









