TH masih berdepan risiko kelangsungan - Rafizi

TH masih berdepan risiko kelangsungan – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) masih terdedah kepada risiko kelangsungan meskipun hampir sedekad berlalu dan negara telah melalui pentadbiran lima Perdana Menteri.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, perkara itu antara isu utama yang perlu diberi perhatian susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Beliau berkata, laporan berkenaan mengesahkan beberapa isu pokok termasuk transaksi yang disifatkannya mencurigakan, kedudukan rizab TH yang menjadi negatif serta pembayaran hibah ketika institusi itu berdepan masalah kewangan.

Katanya, rizab TH menjadi negatif sejak tahun kewangan 2015 dan memuncak pada 2017 sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu melaksanakan pelan penyelamatan menerusi Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).

“‘Bail-out’ Tabung Haji berjumlah RM27.8 bilion pada nilai akhir semasa matang melalui UJSB hanyalah satu tindakan sementara yang bergantung kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan melunaskan komitmen itu pada tarikh matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, beliau bersetuju dengan hampir semua syor yang dikemukakan RCI termasuk supaya ahli Lembaga Pengarah TH, Lembaga anak syarikat serta pegawai kanan yang terbabit dalam pembuatan keputusan dipertanggungjawabkan.

Katanya, siasatan perakaunan forensik juga perlu dilaksanakan bersama siasatan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.

Beliau berkata, kerajaan perlu membuat keputusan secara telus mengenai model pembiayaan haji bagi memastikan peningkatan beban subsidi tidak mengancam kelangsungan TH.

Rafizi berkata, tindakan lebih tegas perlu diperkenalkan bagi memastikan individu yang memegang tanggungjawab terhadap sesuatu institusi boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka.

“Malaysia perlu mengkanunkan secara undang-undang satu bentuk kesalahan kepada pembuat keputusan, baik menteri, pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga pengarah mahupun pengurusan kanan apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka, walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba daripada penyelewengan itu. 

“Harapan saya supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar Tabung Haji yang sebenarnya masih terdedah kepada risiko kelangsungan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN