HULU TERENGGANU: Seorang lelaki warga Singapura ditahan polis selepas menunggang motosikal Yamaha RXZ secara melulu dan berbahaya di Kilometer 403, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kira-kira pukul 6 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati, lelaki tersebut dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Nerus, dekat sini, bagi menyertai program Perhimpunan RXZ Member 8.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak.
“Dia dikesan melakukan aksi ‘Superman’ ketika menunggang motosikal berkenaan di laluan tersebut. Perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu atau berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN










