SEREMBAN: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka meraih kemenangan di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Presiden Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, ia berdasarkan kajian yang dibuat pasukannya dengan mengambil kira keputusan PRN Sabah, PRN Johor, keputusan PRN Negeri Sembilan pada 2023 serta gelombang yang ditunjukkan oleh rakyat ketika ini.
Beliau yang juga calon Berjasa bagi kerusi DUN Nilai berkata, data-data yang dikumpulkan menunjukkan kecenderungan pengundi di negeri ini memberi kemenangan kepada BN dan PN sekali gus membentuk kerajaan baharu selepas PRN kelak.
“Sebagai contoh, pada PRN Johor, pasukan kami telah pun membuat rumusan BN akan menang 45 kerusi tetapi keputusan PRN itu akhirnya menyaksikan gabungan itu menang 48 kerusi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, data daripada keputusan PRN Negeri Sembilan pada 2023 menunjukkan kerjasama BN-PN akan menghasilkan kemenangan kerusi apabila jumlah undi yang diterima akan dikongsi oleh kedua-dua pakatan itu dalam PRN kali ini.
Malah, tambahnya, kerusi yang menjadi perhatian seperti Chennah mungkin akan beralih kepada BN dan penyandangnya iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook akan kalah.
Zamani memberitahu, pada masa sama, gelombang yang ditunjukkan dalam PRN Sabah dan Johor dijangka berlarutan hingga ke negeri ini walaupun ia cuba dinafikan oleh parti yang bersaing.
“Gelombang penolakan pengundi terhadap PH tetap ada dan semakin membesar menjelang hari pengundian,” ujarnya.-UTUSAN









