Lebih 800,000 dijangka keluar mengundi esok

Lebih 800,000 dijangka keluar mengundi esok

RAMLAN Harun ditemui pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seramai 859,760 orang daripada 889,490 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 7,391 orang telah selesai menjalankan pengundian mereka secara pos.

Beliau berkata, sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,669 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang esok.

“Setakat ini semua pusat mengundi sudah bersedia untuk menerima pengundi esok bermula pukul 8 pagi. Hari ini kami turut meninjau proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin.

“Proses sama juga sedang berjalan di semua pusat penjumlahan undi di seluruh Negeri Sembilan membabitkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan persiapan pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana Tampin, di sini, hari ini.

Ramlan berkata, hasil tinjauan mendapati semua persiapan berada pada tahap siap siaga dan proses pengundian esok dijangka berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Ramlan berkata, SPR menyasarkan keputusan awal PRN Negeri Sembilan dapat diumumkan seawal pukul 10 malam esok.

“Kami cuba mengeluarkan keputusan paling awal sekitar pukul 10 malam esok. Bagi keputusan penuh pula, kami cuba selesaikan sebelum pukul 12 tengah malam.

“Kita berharap sebelum tengah malam semua keputusan bagi kesemua DUN dapat diumumkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN