BUAT sekian lama, Malaysia diterajui ‘orang lama’ melalui parti politik lama mereka. Tiba masa, Malaysia perlukan pemimpin baharu yang lebih muda, sihat serta bertenaga untuk memimpin negara ini ke arah pembangunan dan kemajuan sesuai dengan kehendak masa kini. Malaysia tidak boleh bergantung harap dan meletakkan nasib mereka hanya kepada orang-orang yang sudah lama berada dalam dunia politik.
Walaupun mereka memiliki banyak pengalaman, namun tidak membawa sebarang makna sekiranya gagal memahami sepenuhnya kehendak generasi baharu dan segala masalah dihadapi rakyat pada masa kini. Hakikatnya, ‘orang-orang lama’ ini sudah lama berada dalam politik, mereka sudah selesa dengan kehidupan, mereka juga sentiasa dikelilingi oleh orang-orang yang sentiasa memuji dan kaki bodek serta mereka tidak lagi dapat memahami sepenuhnya dunia realiti dan perubahan yang berlaku di sekeliling.
‘Orang-orang lama’ ini juga sentiasa terdedah dengan isu atau masalah kesihatan yang boleh menjejaskan tumpuan sebagai pemimpin serta mengganggu gugat perjalanan pentadbiran negara. Oleh itu, amat wajar sekiranya rakyat dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk orang baharu, yang lebih sihat dan lebih bertenaga untuk tampil menjadi pemimpin negara.
Orang muda lebih kreatif dan bersemangat dalam menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab kerana faktor usia disamping memiliki tenaga yang masih kuat untuk bekerja. Orang muda juga kurang terpengaruh dengan sentimen politik atau proses perebutan kuasa kerana masa mereka lebih banyak digunakan bagi menambah ilmu pengetahuan dan mencari pengalaman. Oleh itu, orang muda lebih fokus menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Walaupun mereka kurang dari aspek pengalaman, namun golongan ini lebih berpengetahuan dan memiliki kepakaran untuk menjalankan kerja sesuai dengan suasana zaman moden pada ketika ini.
Ini kerana mereka mudah belajar terutama melibatkan aplikasi teknologi baharu dalam melakukan kerja serta memberi khidmat kepada masyarakat.
Penting pemimpin negara menguasai ilmu dan kemahiran teknologi bagi mendekati rakyat. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










