Kritikan terhadap hadis dan penggunaannya akhir-akhir ini semakin mendapat perhatian dalam masyarakat. Perkembangan ini menunjukkan kepekaan dan keprihatinan kita terhadap sabda Rasulullah SAW. Antara topik hangat yang sering diperkatakan dan menjadi polemik ialah penggunaan hadis daif (lemah) dan hadis maudhu’ (palsu).
Sahabat Rasulullah SAW telah melalui fasa-fasa yang mencabar dalam penulisan hadis sebelum dibukukan secara sistematik. Terutamanya selepas pembunuhan khalifah Uthman Affan pada tahun 35H, tempoh berlakunya fitnah dan berleluasanya penyebaran hadis maudhu’.
Dalam tempoh ini para sahabat dan tabiin sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis. Antara tokoh tabi’in terkemuka adalah Muhammad Ibn Sirin, seorang ahli hadis dan ahli fikah. Beliau sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadis dan mengeluarkan fatwa.
Beliau berkata: “Sesungguhnya ilmu ini adalah berkaitan agama, lalu kamu perhatikanlah daripada mana kamu mengambil agama itu”. (Muqaddimah Sahih Muslim). Ini adalah satu contoh yang menunjukkan pentingnya sikap integriti peribadi mereka dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah SAW.
Imam al-Tabari menyebut “Ibnu Sirin adalah seorang yang sangat faqih dan alim, warak dan mempunyai adab yang tinggi. Beliau banyak riwayatkan hadis. Percakapannya sangat benar”. (Siyar ‘Alaam al-Nubala’, 4/606, Thabaqat al-Huffaz: 39).
Begitu juga dengan tokoh-tokoh sahabat dan tabi’in yang lain. Keperibadian mereka yang cukup tinggi ini telah meletakkan martabat hadis sesuai dengan sabda Rasulullah SAW sehingga kekal relevan sebagai sumber dalil yang kedua selepas al-Quran. Juga sebagai sumber hukum Islam bayan at-tasyri’, iaitu sebagai sumber menetapkan hukum hakam dan ajaran Islam.
Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah menjelaskan bahawa seseorang itu perlu memahami prinsip asas ketika berinteraksi dengan hadis untuk mengelak daripada terjebak dengan takwilan yang salah secara jahil.

Antara perkara-perkara asas yang perlu dititikberatkan ialah kefahaman dalam ilmu hadis sama ada yang berkaitan dengan disiplin riwayah (sanad) atau disiplin dirayah (iaitu kefahaman makna dan teks hadis).
Seseorang itu juga perlu memastikan kethabitan atau kesahihan sesebuah hadis berdasarkan pertimbangan ilmiah yang terperinci yang diletakkan oleh para ulama hadis. seterusnya memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadis.
Ulama-ulama hadis menyusun beberapa disiplin Ilmu hadis riwayah (sanad) dan dirayah untuk memudahkan umat Islam memahami seterusnya dapat merealisasikan maksud hadis dalam ibadat dan ajaran agama.
Semua kaedah dalam ilmu ini adalah praktikal dan disepakati oleh semua ulama yang muktabar, seharusnya ia dijadikan sandaran dalam memahami hadis. Sudah semestinya terdapat beberapa perubahan teknikal pada hadis berdasarkan kepada konteks semasa seperti nasakh dan mansukh atau terdapat hadis lain yang mentakhsiskannya.
Pelbagai langkah yang proaktif dilakukan oleh ulama agar umat Islam kekal memahami sabda Rasulullah SAW ini sebagai rujukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (al-Hashr: 7)
Antara isu dan cabaran dalam memahami hadith ialah silap faham pengertian hadis dhaif dan penggunaannya. Begitu juga dengan menyamakan hadis daif dan hadis palsu, seterusnya cabaran dalam memahami maksud kontekstual hadis.
Setiap hadis mengandungi maksud tertentu yang perlu difahami. Dengan adanya kitab-kitab induk hadis sangat membantu umat Islam memahami hadis dengan lebih jelas. Antara kitab-kitab tersebut ialah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan at-Tirmidzi, Sunan al-Nasaie, Sunan ibn Majah dan Sunan Abu Daud.
Memahami hadis daif dan hadis palsu adalah antara topik utama yang menjadi perbincangan. Al-Hafiz Ibnu Solah mentakrifkan hadith daif sebagai: “Setiap hadis yang tidak mencukupi syarat-syarat hadis sahih dan hadis hasan, maka itulah hadis daif”.
Sementara para ulama mendefinisi hadis maudhu’ adalah hadis yang dicipta dan dibuat oleh pendusta dan kemudian dikatakan bahawa itu hadis Rasulullah SAW.
Ulama hadis tidak sewenang-wenangnya menolak hadis daif sehingga menjadikan seolah-olah ia tidak boleh digunakan. Begitu juga tidak menyamakan hadis aif dengan hadis palsu. Hadis-hadis daif dikritik terutamanya disebabkan faktor, sanad. Iaitu berkaitan dengan kedabitan dan keadilan seseorang perawi.
Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan Imam al-Sakhawi bahawa Ibn Salah menyebut: “Kebarangkalian hadis daif tersebut membawa makna yang benar jika terdapat kemungkinan seperti ini maka hadis tersebut menjadi dalil dan boleh beramal dengannya”.
Apa sahaja pandangan mengenai hadis perlu diteliti dan dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Ini bagi mengelak daripada tersalah pentafsiran dalam memahami maksudnya.
Ini kerana ada sesetengah pihak menolak hadis daif dengan sewenang-wenangnya. Ulama hadis mengkategorikan ia kepada beberapa kategori iaitu daif yang ringan, daif yang sederhana dan daif yang berat.
Menurut Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, seseorang individu yang memiliki pandangan yang tajam dan mendalam, akan dapat memahami bahawa sesuatu hadis itu diucapkan sesuai dengan keadaan tertentu sebagai maslahah yang dapat diterima oleh syariat.
- Dr. Muhamad Hapizi Sulaiman ialah Ketua Penolong Pengarah, Darul Quran, Jakim.










