PETALING JAYA: Penutupan sektor perkilangan sama ada secara sementara atau sebaliknya boleh menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM400 juta sehari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Kanan, Pusat Pengajian Pasifik, Malaysia, Oh Ei Sun berkata, ini kerana sektor perkilangan menyumbang 40 peratus kepada ekonomi negara.
Katanya, penutupan kilang selama dua minggu atau lebih panjang juga tidak dapat menghentikan penularan kluster kilang.
“Hal ini kerana wabak juga merebak di asrama pekerja kilang yang merupakan warga asing. Kebiasaan ruang yang sangat sempit merumitkan pengendalian jarak sosial, berbanding dengan kebanyakan kilang yang telah beransur-ansur mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan untuk memerangi wabak,” katanya.
Menurut Ei Sun, keberkesanan penutupan sementara kilang untuk menyekat penularan wabak juga tidak terlalu tinggi kerana penularan wabak boleh kembali semula selepas pembukaan kilang itu.
“Situasi berkenaan akan berulang tanpa kesudahan sekiranya keadaan asrama pekerja-pekerja asing yang sememangnya teruk itu tidak diperbaiki secara jangka pendek dan panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, berdasarkan indikator ekonomi, jumlah eksport import meningkat sepanjang tahun kerana dipacu oleh industri perkilangan elektrikal, peralatan perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.
Katanya, kesan kepada ekonomi akan berlaku sekiranya industri berkenaan yang sebenarnya terjejas dan terpaksa ditutup sementara.
“Maka kita perlu lihat sektor mana yang terjejas akibat jangkitan atau kluster dalam kalangan pekerjanya.
“Kesan kepada penurunan nilai eksport mungkin berlaku kerana ada kilang yang tidak terlibat untuk pasaran domestik. Oleh itu, apabila tutup, mereka tidak dapat mengeksport barangan tersebut ke luar negara,” katanya. -UTUSAN










