Kenapa ingkar titah raja? - Utusan Malaysia

Kenapa ingkar titah raja?

YANG Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi ini. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Jumaat lalu, seorang warta­wan bertanya, “Pandangan sia­pakah yang betul mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen bersidang? Apakah pandangan Peguam Negara mengatasi pandangan orang lain?”

Saya jawab, semua orang berhak membuat tafsiran mereka masing-masing mengenai mana-mana perun­tukan Perlembagaan Perse­kutuan. Pandangan Peguam Negara hanya perlu diikuti oleh jabatan dan kementerian kerajaan.

Pandangan beliau tidak mengikat pihak lain (termasuklah rakyat biasa) – berbeza dengan keputusan mahkamah yang mengikat semua pihak.

Dalam isu tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa raja dalam hal ini, badan yang punyai kuasa mutakhir dan konklusif memutuskannya adalah Mahkamah Persekutuan. Selagi satu keputusan mahkamah itu belum lagi dibuat, isu ini terbuka untuk dibahaskan oleh sesiapa sahaja.

Dalam kenyataan media Istana Negara pada 16 Jun lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan: “Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.”

Kenyataan media itu selanjutnya menyatakan: “Seri Paduka turut menzahirkan pandangan perlunya ada pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.”

Saya ingatkan wartawan itu, ada dua perkara penting yang menjadi inti pati titah Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun itu, iaitu:
– Parlimen perlu bersidang ‘secepat mungkin’ supaya wakil rakyat yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu boleh membahaskan segala undang-undang darurat yang diluluskan selama ini (sama ada perlu dikekalkan atau dibatalkan selepas 1 Ogos ini), dan

– Wakil rakyat diberi peluang menilai sama ada kerajaan yang ada sekarang ini benar-benar ‘stabil dan kukuh’ dan berupaya secara efektif (berkesan) menangani wabak Covid-19.

Memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong itu amat jelas, tindakan melengahkan Parlimen bersidang sehingga September ini merupakan perbuatan mengingkari titah Seri Paduka. Ini bukan kali pertama Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen bersidang segera. Titah Seri Paduka yang dahulu pun tidak dipatuhi.

Apa yang berlaku seminggu dua lalu menunjukkan kepada orang awam bahawa satu ‘sebab’ atau ‘alasan’ mengapa titah Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu tidak dipedulikan oleh kerajaan adalah kerana dalam hal memanggil Parlimen bersidang, Seri Paduka dikehendaki ‘mengikut nasihat’ jemaah menteri atau seorang menteri. Sehingga 16 Jun lalu, sewaktu Yang di-Pertuan Agong ‘menzahirkan pandangan’, jemaah menteri belum lagi memberi ‘nasihat’ kepada Seri Paduka berbuat demikian.

MESEJ
Itulah inti pati mesej yang disampaikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun. Disebabkan tidak ada ‘nasihat’ daripada mana-mana menteri, maka titah Yang di-Pertuan Agong dikira tidak sah dan tidak wajib dipatuhi.

Kenyataan Peguam Negara itu segera dipertikai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, kenyataan Peguam Negara itu dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara. Tambahnya lagi, kenyataan Peguam Negara itu mempunyai kemungkinan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan Persekutuan.

Anwar turut mendakwa ada usaha yang sistematik menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen untuk melengahkan sesi Parlimen akan datang.

Bagi UMNO yang kini masih lagi menjadi komponen parti dalam kerajaan Perikatan Nasional, Parlimen hendaklah bersidang dalam masa 14 hari. Mengikut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak perlulah lagi kita terus berdolak-dalik mengenai istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera.’

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, kegagalan menunaikan pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

Mengikut pakar undang-undang Perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, isu kewajipan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat seorang Perdana Menteri itu mesti dilihat dari sudut status ‘Perdana Menteri’ itu. Pada pendapatnya, hanya seorang Perdana Menteri yang ada sokongan majoriti yang kuat dalam Parlimen boleh memberi ‘nasihat’ kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tersirat dalam pandangan Shad Saleem, Parlimen perlu bersidang segera supaya Perdana Menteri boleh melihat sendiri sama ada dia mendapat sokongan majoriti daripada wakil rakyat yang bersidang. Jika sahih dia mendapat sokongan majoriti, Perdana Menteri kemudian boleh memberi apa jua ‘nasihat’ kepada Yang di-Pertuan Agong dan sebagai Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong kemudian hendaklah mengikuti ‘nasihat’ tersebut, kecuali dalam perkara-perkara yang Seri Paduka ada kuasa budi bicara.

Seorang bekas menteri undang-undang melontarkan satu cadangan ‘penyelesaian’ yang luar biasa dan menarik. Menurut Datuk Zaid Ibrahim, krisis yang ada sekarang boleh diselesaikan dengan mudah, iaitu Yang di-Pertuan Agong memanggil Perdana Menteri menghadap dan memberitahu jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021.
Beliau menambah, Seri Paduka boleh mengarahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik.

Zaid menjelaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong semasa darurat sangat luas di mana Seri Paduka boleh memanggil Parlimen bersidang esok atau lusa, bahkan boleh pecat Perdana Menteri, Speaker dan sebagainya.

Rakyat tahu dalam isu Parlimen dipanggil bersidang ‘secepat mungkin’ seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu, Seri Paduka mendapat sokongan padu daripada semua lapisan rakyat, semua wakil rakyat parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Raja-raja Melayu. Rakyat mengalu-alukan kebijaksanaan Istana Negara mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Raja-raja Melayu, sebelum menzahirkan pandangan Seri Paduka. Rakyat juga gembira Raja-raja Melayu sependapat dengan pendirian Istana Negara.

Rakyat juga sentiasa melihat dan pasti tidak akan lupa identiti orang yang enggan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong sekarang ini. Apabila sampai masanya nanti, rakyat memegang semula kuasa peti undi mereka pada PRU-15, kita akan lihat bagaimana cerita ini akan berakhir.

 

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×