Bidikan lensa kamera Addy - Utusan Malaysia

Bidikan lensa kamera Addy

Gambar Kembara Mahkota Johor Tahun 2017 antara yang dirakam Abd. Hadi Abd. Wahab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Deria penglihatannya tajam. Dengan hanya lirikan mata, dia mampu membaca sudut gambar terbaik. Sekali jarinya membidik, suatu rakaman magis, sudah pasti menjadi.

Juru foto korporat, Abd. Hadi Abd. Wahab, 30, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, sesiapapun mampu merakam gambar. Bagaimanapun melahirkan suatu karya terbaik itu memerlukan jiwa dan perasaan.

“Ayah saya seorang jurugambar. Jadinya sejak kecil saya sudah terbiasa dengan foto. Saya rajin tolong susun gambar atau pilih gambar dalam komputer riba ayah. Daripada situlah saya mula belajar mengenai sudut gambar,” katanya.

Kepercayaan ayahnya, Abd. Wahab Abu Samad terhadap dirinya menyebabkan dia diberikan amanah menduduki kerusi Pengarah Urusan WP Productions pada usia seawal 23 tahun.

Selain dibantu ayah, abangnya Abd. Zaid turut sama terlibat dalam syarikat keluarga yang dibangunkan sejak lebih sedekad lalu.

“Ayah seorang yang sangat tegas dan dia mahukan saya selalu ke depan. Dia mahu saya mahir sebagai fotografi individu penting dan ternama (VVIP) serta acara rasmi. Justeru pada usia muda, saya diberi tugas mengambil gambar majlis rasmi di istana dan juga di pejabat kerajaan,” katanya.

Abd. Hadi mula mengenal kamera semasa tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki,.

BERALIH BIDANG

Lulusan Diploma Penyiaran dan Perfileman dari Kuala Lumpur Metropolitan Universiti (KLMU) ini memberitahu, beliau mula mengenal kamera semasa di sekolah menengah.

“Semasa di tingkatan empat, ayah pinjamkan kamera Nikon D70s. Saya mula mengambil gambar majlis rasmi di sekolah. Guru fotografi saya, Cikgu Zalifah Md. Salleh dan pengetua sekolah memberi sepenuh kepercayaaan untuk saya menerajui sidang redaksi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki.

“Saya turut dilantik sebagai ketua editor majalah sekolah dan juga pengerusi kelab fotografi atau lebih dikenali sebagai kelab lensa kreatif waktu itu,” katanya.

Usai pengajian sekitar 2011, beliau menjalani latihan praktikal di sebuah stesen televisyen swasta dalam bidang penyiaran.

Meskipun ditawarkan berkhidmat di situ, beliau memilih bekerja di sebuah taman tema di Johor Bahru sebagai kumpulan khas hiburan pada 2012.

Dua tahun mengumpul pengalaman, Addy akhirnya memutuskan untuk menerajui syarikat fotografi dan videografi milik bapanya sejak 2009.

“Saya sebetulnya tidak pernah terfikir untuk menjadi jurugambar sebagai kerjaya tetap walaupun ayah juru foto tetapi itulah namanya rezeki,” katanya.

CABARAN

Abd. Hadi yang lebih dikenali sebagai Addy mengakui, setiap permulaan itu tidak semudah disangka. Namun berbekalkan pengalaman, fokus dan minat mendalam, tiada apa yang mustahil dilakukan.

Antara pengalaman mencabar dilalui Abd. Hadi ialah terlibat dalam majlis dihadiri ramai VVIP kerana ia membabitkan protokol.

“Bila sesuatu acara itu melibatkan individu terhormat dan protokol, juru foto kena cekap dan mahir menggunakan kamera. Aspek teknikal kamera dan protokol perlu berjalan seiring.

“Kalau silap, kredibiliti juru foto nampak tidak efisien. Antara kesilapan besar seorang juru foto ialah lalu depan VVIP atau merakam gambar sewaktu mereka sedang makan atau bersantap,” ujarnya.

PENGALAMAN EMAS

Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Permaisuri Johor pada 23 Mac 2015 antara pengalaman paling manis dalam lakaran kanvas pengalamannya sebagai jurugambar.

“Memori paling indah pernah terjadi. Tak semua orang berpeluang dapat pengalaman macam itu. Namun, tipulah kalau tak ada rasa risau dan gugup.

Tapi ayah selalu beri semangat untuk saya terus tenang apabila berhadapan dengan majlis yang dihadiri pembesar dan VVIP,” katanya.

Perarakan sempena pertabalan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada 2015 antara kenangan manis kerjaya Abd. Hadi sebagai juru foto.

Antara pencapaian terbaik dirinya ialah juru foto rasmi kerajaan untuk majlis perkahwinan Tunku Mahkota Johor, upacara pertukaran panji-panji Johor Military Force (JMF), pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

KERJAYA DAN PANDEMIK

Menyentuh soal ekonomi dalam norma baharu ini pula, anak kelahiran Johor ini menghela nafas panjang.

Beliau tidak menafikan sektor yang dikategorikan industri seni kreatif khususnya juru foto turut senasib penggiat seni tempatan lain.

“Pelanggan utama saya adalah Johor Corporation (Jcorp) dan juga syarikat dalam kumpulan seperti Johor Land Berhad, Kulim (M) Berhad dan selain pejabat-pejabat kerajaan Johor.

“Ketika pandemik melanda, semua acara rasmi dbatalkan dan syarikat kami sedikit terjejas. Oleh itu kami mengambil langkah berjaga-jaga dalam berbelanja untuk menurunkan kos syarikat.

“Alhamdulillah sekarang ini keadaan semakin pulih dan syarikat saya kembali seperti biasa.

“Menerusi pengalaman mencabar ini juga sebenarnya membentuk saya, abang dan staf-staf belajar untuk mengharungi masa getir dan dalam masa sama belajar untuk sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×