PARLIMEN hibrid adalah satu idea bernas dan sesuai dengan perkembangan sosioekonomi, politik dan teknologi semasa yang sedang berlaku kerana ahli Parlimen mesti memainkan peranan dalam menyelesaikan isu dan persoalan yang sedang dialami negara bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diatasi dan dalam keadaan keselamatan mereka sendiri terjaga.
Parlimen hibrid, iaitu sebahagian hadir secara fizikal dan sebahagian secara maya wajar diamalkan dalam suasana sekarang. Ia boleh dilakukan selagi tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh undang-undang dan Perlembagaan negara.
Apa yang penting adalah Parlimen berjalan dan isu serta permasalahan negara dapat diselesaikan dengan baik.
Parlimen hibrid dilihat sesuai dengan pandemik Covid-19 yang masih lagi berada pada tahap membimbangkan. Kes baharu masih tinggi iaitu berada pada sekitar 5,000 setiap hari.
Walaupun menurun tetapi penurunan secara berterusan belum berlaku dan tidak meyakinkan bahawa kes akan turun secara drastik. Kita masih memerlukan beberapa tempoh masa bagi memastikan kes menurun secara tetap.
Parlimen hibrid dapat dilihat selaras dengan usaha memerangi Covid-19. Jumlah ahli Parlimen yang akan berada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah kecil berbanding sesi Parlimen secara fizikal sepenuhnya.
Ahli Parlimen hanya perlu berada di pejabat atau kediaman masing-masing, menghadap komputer dengan bebas memberikan pendapat dan pandangan secara terbuka. Idea dapat dikongsi dan dibahas tanpa halangan.
Parlimen secara hibrid bukan sahaja dapat memberikan kesan yang baik kepada pencegahan penularan tetapi juga penjimatan kos. Kos pengangkutan dan penginapan ahli Parlimen dapat dijimatkan.
Bayangkan angka mudah kalau RM10,000 bagi seorang ahli Parlimen, berapa kosnya dengan 220 ahli Parlimen?
Apa yang lebih penting perlu diketengahkan dalam sidang Parlimen adalah persoalan dan permasalahan utama sedang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang, iaitu pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi negara yang sukar dapat dicari cara untuk diatasi.
Semestinya dalam seramai 220 ahli Parlimen akan ada idea bernas yang dapat dibincangkan bersama bagi mencari jalan agar angka sekitar 5,000 sehari (dan angka kematian yang agak besar setiap hari) dapat dicari jalan keluar.
Seperti dinyatakan oleh Raja-raja Melayu, nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain, sebab itulah mereka menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) segera bersidang.
SEMANGAT
Atas semangat ini juga, Raja-raja Melayu menyarankan supaya kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal jangkitan virus Covid-19 wajar diperkenan dan diterima pakai di negara ini.
Raja-raja Melayu pasti sedar walaupun kita hanya ada 220 ahli Parlimen tetapi setiap satu persidangan melibatkan bilangan lebih ramai daripada itu seperti pegawai-pegawai Parlimen, pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri, pegawai-pegawai keselamatan dan kakitangan kerajaan lain.
Ini berbeza berbanding persidangan DUN melibatkan bilangan jauh lebih kecil yang memungkinkan untuk ia dilaksanakan secara fizikal bagi sesetengah negeri kecil.
Adalah dicadangkan supaya satu Peraturan Mesyuarat Dewan untuk pelaksanaan persidangan hibrid diluluskan segera oleh Jawatankuasa Khas Persidangan Hibrid dan diseragamkan penggunaannya untuk persidangan DUN.
Menyedari proses dan prosedur yang diperlukan untuk membuat persiapan terperinci bagi pelaksanaan persidangan hibrid, maka pengumuman Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai tempoh masa diperlukan wajar diterima baik.
Adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keprihatinan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara terhadap soal peraturan Dewan dan keselamatan mereka yang terlibat sebagai usaha melambatkan persidangan.
Pada masa sama, semua ahli Parlimen jangan menimbulkan konflik baharu politik tidak berkesudahan kerana jika ini dibangkitkan maka akan menimbulkan kesan buruk kepada ekonomi dan usaha menarik pelabur asing.
Tumpuan harus diberikan kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat dan negara. Andai kata persoalan kepada pembentukan kerajaan baharu berlaku, ia pasti akan memberikan kesan buruk kepada ekonomi dan pelaburan asing.
Elakkan pertembungan antara parti-parti politik kerajaan dan pembangkang serta dalam kalangan sama-sama parti politik kerajaan.
Buat masa ini, persoalan percaturan dan penyusunan semula kuasa politik pemerintah-pembangkang mesti diketepikan. Tumpuan mesti diberikan kepada masalah pandemik yang belum selesai dan usaha membina kestabilan, kemakmuran dan peluang ekonomi lebih baik bagi seluruh rakyat.
Adalah tidak wajar ahli politik bercakaran membentuk percaturan baharu sedangkan bilangan pesakit Covid-19 semakin bertambah dan mereka yang sedang bertembung menentukan hidup mati di katil-katil wad kecemasan semakin besar jumlahnya manakala doktor dan jururawat telah lelah.
Titah Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun lalu supaya Parlimen bersidang segera adalah bagi menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Jauh sekali daripada membuka ruang kepada percaturan kuasa politik baharu yang haru-biru dan membimbangkan.
Dengan kemudahan teknologi yang ada, Parlimen secara hibrid adalah suatu kaedah sangat wajar. Cara persidangan hanya proses, Parlimen secara hibrid adalah dicadangkan oleh Raja-raja Melayu sendiri. Jangan pertikaikan proses, pentingkanlah matlamatnya.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.











