KISAH suami mengurung isteri dan anak-anak, terjun bangunan dan beberapa kes bunuh diri ketika pandemik Covid-19 bukan kes terpencil. Ini adalah indikator yang memberikan gambaran lebih besar tentang kegagalan menguruskan tekanan perasaan.
Kita tidak boleh mentah-mentah menolak kes begini akibat beban psikologi sepanjang Covid-19.
Beban psikologi ini bukan perkara biasa yang boleh diambil mudah. Kesannya sama teruk dengan mereka yang menderita Covid-19.
Mereka hilang punca dan tertekan kerana tidak tahu apa lagi yang mesti dilakukan – arahan sudah dipatuhi tetapi masih tiada kesudahan.
Mereka akur dipenjara dalam lingkaran geografi yang memisahkan negeri, dilarang merentas daerah dan akhir sekali dalam lingkungan 10 kilometer yang pada relatifnya luar daripada kebiasaan manusia biasa yang merdeka.
Tetapi masalah masih tidak selesai juga walaupun barisan hadapan bertungkus lumus siang dan malam.
Sidang media yang diadakan hampir setiap hari sudah semakin lesu, hilang sentuhan pada kemanusiaan. Lebih kepada angka-angka seperti endah untuk mengubati tekanan psikologi yang dideritai berjuta-juta rakyat.
Padahal menangani masalah psikologi yang disebut posttraumatic stress disorder (PSTD) sama pentingnya dengan memerangi Covid-19.
Normal baharu sudah terlalu lama dan inilah kesan pasca trauma selepas lebih setahun dicengkam bimbang tidak berkesudahan dan takut tidak menentu. Covid-19 bukan sahaja pandemik tetapi juga membawa penyakit psikologi.
Saya pernah berada dalam keadaan amat perit akibat kemelesetan ekonomi pada 1998. Banyak catatan sedih tentang nasib yang menimpa kawan-kawan dan sanak saudara – kehilangan kerja, terpaksa menutup perniagaan dan menjadi penganggur dalam keadaan tidak bersedia.
Bukan sahaja dalam kalangan rakan-rakan dalam industri media malah bidang lain tidak terkecuali. Kemelesetan ekonomi 1998 meninggalkan tanda kenangan sungguh pahit, bukan sahaja kepada yang menerima kesan secara langsung malah mereka yang menyaksikan kepedihan hidup manusia di sekeliling.
Ketika itu saya menganggap inilah bencana paling perit, ekonomi menjunam, nilai ringgit jatuh di paras tidak masuk akal, ratusan perniagaan bertaraf industri kecil dan sederhana gulung tikar.
Akibatnya kadar pengangguran dan inflasi pun menjulang tinggi. Kisah sedih ibu dan ayah yang hampir gila memikirkan di mana hendak dapatkan susu untuk anak ada di mana-mana.
Bagaimanapun, apabila dunia termasuk negara ini berdepan pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi 1998 sebenarnya amat kecil. Kesan pandemik ini jauh lebih besar buruknya berbanding hanya kemelesetan ekonomi. Malah sekali gus memberikan kesan psikologi amat dahsyat kepada rakyat.
Dalam persekitaran yang dicurigai penuh ancaman, bayangkan bagaimanakah wajah kehidupan seharian yang lebih setahun lamanya.
Sejak lebih setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadikan lingkaran kehidupan sangat kecil, rakyat terpaksa berdepan dengan dua ancaman besar – ekonomi dan beban psikologi. Kedua-dua ini bukan mudah untuk dihadapi oleh sesiapa sahaja, tidak kira miskin atau kaya.
Kesan ekonomi tercetus apabila banyak entiti perniagaan terpaksa mengecilkan saiz, mengurangkan pekerja atau terpaksa menutup operasi. Akibatnya banyak yang kehilangan punca pendapatan.

GERAI
Hal ini dapat dilihat apabila gerai tumbuh bagai cendawan selepas hujan di tepi jalan. Inilah antara ikhtiar kelangsungan hidup yang termampu dalam keadaan mendesak. Yang penting susu untuk anak kecil dan beras untuk keluarga mesti ada, biarpun kais pagi makan pagi.
Bagaimanapun, beban psikologi yang datang bersama-sama kemelut ekonomi akibat pandemik lebih teruk dan tidak mudah untuk ditangani. Hal ini meninggalkan trauma berpanjangan, pertama kerana ekonomi keluarga menjunam dan kedua, kehidupan terpenjara dan tidak menjanjikan sedikit pun cahaya.
Daripada tidak boleh melepasi sempadan negeri, kemudian dihalang merentas daerah dan apabila kerajaan mengetatkan PKP, ekonomi keluarga yang tenat terpaksa pula diuruskan dalam penjara 10 kilometer. Bagi manusia biasa yang merdeka, 10 kilometer adalah penjara psikologi yang amat menyeksakan.
PSTD telah menghinggapi sebahagian besar dalam kalangan rakyat, terutama golongan bawahan yang kais pagi makan pagi. Yang bertaraf kayangan hanya rasa terkurung tetapi tidak terpenjara. Cuma tidak banyak yang sedar dikepung PSTD. Tetapi apabila tidak terkawal ekspresinya adalah kisah-kisah tragis saksikan di media.
Saya melihat keadaan sekarang jauh lebih teruk berbanding 1998 kerana wujudnya PSTD selain beban ekonomi. Manusia masih boleh berada dalam kewarasan untuk berdepan keruntuhan ekonomi. Tetapi menjadi hilang pertimbangan apabila terpenjara dan diasak oleh kebimbangan dan ketakutan tidak berkesudahan.
Saya percaya rakyat akur dan faham peri pentingnya ruang pergerakan yang terhad ini. Tetapi apabila terlalu lama dan tidak ada tanda-tanda akhirnya, beban yang dimurnikan dengan frasa ‘normal baharu’ sudah tepu untuk diterima. Jangka masa lebih setahun adalah terlalu lama, dan di luar negara pada enam bulan pertama tahun lalu sudah mula menggerakkan usaha menguruskan PSTD.
Rakyat menjadi sangat tertekan berdepan pandemik. Tetapi mereka hanya berupaya menunggu dan melihat selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) – pakai pelitup muka, cuci tangan, ambil suhu dan menjarakkan diri dengan individu lain. Semua SOP ini dipatuhi tetapi terus diburu bimbang apabila keadaan di sekitar tetap tidak selamat.
Ketika perasaan rakyat ditekan keadaan cemas yang tidak menentu ini, pihak berkuasa kelihatan kurang mengambil pendekatan psikologikal dalam menyampaikan mesej. Cukuplah rakyat dibumbu oleh angka-angka yang sebenarnya tidak memberikan penyelesaian. Rakyat tidak boleh berbuat apa-apa dengan angka-angka itu.
Cukuplah kes-kes mereka yang gagal menguruskan trauma melintas di garis masa kehidupan kita setakat ini. Semua ini amat tragis dan sangat menggoreskan perasaan. Cukuplah. Tidak tertanggung rasanya keperitan di jiwa apabila menyaksikan kisah-kisah begini.
Ingat, pasca trauma mengambil masa jauh lebih lama untuk kembali pulih.
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.









