Harga emas cecah paras terendah dalam 8 bulan

Harga emas cecah paras terendah dalam 8 bulan kepada RM520 segram

KONTRAK hadapan emas berterusan menyusut kepada AS$3,973.90 seauns (RM520.64 segram) pada 9.12 pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas susut di bawah paras AS$4,000 seauns (bawah RM523.40 segram) pada Selasa, mencecah paras terendah dalam hampir lapan bulan dan berada dalam landasan mencatatkan penurunan bulanan keempat berturut-turut.

Logam berharga itu telah merosot lebih 12 peratus sepanjang bulan ini dan kira-kira 15 peratus bagi suku semasa.

Kontrak hadapan emas berterusan menyusut kepada AS$3,973.90 seauns (RM520.64 segram) pada 9.12 pagi semalam sebelum naik 0.22 peratus kepada AS$4,047.70 seauns (RM530.24 segram) pada lewat petang semalam, berikutan ketidaktentuan di Asia Barat serta jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Berbanding paras tertinggi sepanjang masa AS$5,594 seauns (RM732.70) yang dicatatkan pada Januari tahun ini, harga emas semasa turun kira-kira 28 peratus.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, penyusutan ini lebih kepada pembetulan jangka pendek dan bukannya petanda bahawa trend kenaikan emas telah berakhir. 

Katanya, adalah normal untuk pasaran mengalami fasa penyatuan selepas mencatat kenaikan yang luar biasa dalam tempoh dua tahun lalu, apabila pelabur mengambil keuntungan dan menyesuaikan semula jangkaan terhadap dasar monetari AS. 

“Apa yang berlaku hari ini lebih mencerminkan pelarasan terhadap faktor kitaran, bukannya perubahan kepada faktor asas. Selagi permintaan berterusan daripada bank-bank pusat, ketidaktentuan geopolitik serta keperluan mempelbagaikan rizab antarabangsa kekal utuh, prospek jangka panjang emas masih positif.

“Bagi pelabur jangka panjang, pembetulan harga boleh membuka ruang untuk meningkatkan pegangan pada paras yang lebih menarik. 

“Oleh itu, permintaan terhadap emas fizikal dan instrumen pelaburan berasaskan emas berpotensi meningkat sekiranya pelabur melihat penurunan ini sebagai peluang membeli,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, bagi industri barang kemas pula, harga yang lebih rendah boleh merangsang permintaan pengguna kerana kos pembelian menjadi lebih mampu milik, sekali gus menyokong jualan.

“Bagi syarikat berkaitan emas yang tersenarai di Bursa Malaysia, impaknya bergantung kepada model perniagaan masing-masing. 

“Syarikat perlombongan mungkin berdepan tekanan terhadap margin keuntungan jika harga emas kekal rendah untuk tempoh yang panjang, manakala syarikat yang terlibat dalam perdagangan dan peruncitan emas berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan jumlah transaksi,” jelasnya.

Tambahnya, ketidaktentuan mungkin kekal tinggi dalam tempoh terdekat, tetapi faktor-faktor yang menyokong trend kenaikan emas dalam jangka panjang masih utuh.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya Fed mengambil pendirian yang lebih ketat daripada jangkaan pasaran, ia sememangnya boleh memberi tekanan kepada harga emas dalam jangka pendek. 

“Kadar faedah sebenar yang lebih tinggi meningkatkan kos peluang memegang aset yang tidak memberikan pulangan seperti emas, sekali gus mengurangkan permintaan pelaburan. 

“Pada masa sama, dasar monetari yang lebih ketat lazimnya menyokong pengukuhan dolar AS. Ini boleh menyebabkan sebahagian aliran modal global kembali kepada aset dolar dan mewujudkan turun naik aliran dana ke pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia. 

“Namun, saya menjangkakan kesannya lebih sederhana berbanding kitaran terdahulu kerana asas ekonomi Malaysia kini lebih kukuh, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil, inflasi yang terkawal serta daya tarikan pelaburan yang semakin baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×