MONACO: Satu letupan bom bungkusan mencederakan seorang jutawan Ukraine dan dua individu lain di Monaco pada Isnin, menurut pihak berkuasa.
Ia merupakan satu kejadian yang belum pernah berlaku sebelum ini di negara kecil yang terkenal dengan tahap keselamatan yang tinggi itu.
Sepasang suami isteri dan seorang remaja cedera dalam letupan yang berlaku kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan di sebuah bangunan kediaman di jalan berhampiran sempadan dengan Perancis.
Sumber yang rapat dengan siasatan dan enggan dikenali memberitahu AFP bahawa salah seorang mangsa yang cedera ialah jutawan Ukraine, Vadym Yermolaiev.
Putera Monaco, Albert II, menyifatkan insiden itu sebagai jenayah keji dan satu kejutan kepada seluruh masyarakat Monaco.
Seorang pembantu kepada Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata, polis sedang berusaha mengesan suspek yang telah melarikan diri.
Menteri Negara Monaco, Christophe Mirmand berkata, sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an hingga 60-an mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.
Seorang remaja berusia 13 tahun mengalami kecederaan yang kurang serius. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa.
Menurutnya, remaja itu besar kemungkinan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pasangan tersebut.
Yermolaiev, yang menetap di Monaco, dikenakan sekatan oleh Ukraine sejak Disember 2023. Menurut laporan, tindakan itu diambil oleh pihak keselamatan Ukraine berhubung aktiviti perniagaan alkoholnya di Crimea yang diduduki Russia. – AFP/AGENSI










