Putrajaya: Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dilancarkan semalam adalah ikhtiar strategik bagi mempersiapkan negara menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan berkenaan turut memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital global.
“Keutamaan kita ialah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak agar dapat memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030,” katanya semalam.
Anwar melancarkan MD2030 semalam yang merupakan rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030 yang menandakan peralihan drastik fokus negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), beliau turut menegaskan bahawa perkhidmatan digital kerajaan perlu dibangunkan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara.
Katanya, langkah itu penting bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta membangunkan kepakaran digital sektor awam.
“Insya-Allah dengan iltizam seluruh jentera kerjaan, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kita bekerja, berkhidmat dan membina masa depan negara,” katanya.
Sementara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bakat Madani di Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan semalam, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyasarkan seramai 25,000 golongan belia menyertai program Bakat Madani yang menawarkan pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik.
Katanya, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan Petronas serta institusi pengajian tinggi bagi memperkasa bakat tempatan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurutnya, program tersebut bukan sekadar menyediakan latihan dan peluang pekerjaan malah membuka ruang kepada golongan muda daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan taraf hidup.-UTUSAN.










