Iran nafi runding dengan Amerika Syarikat selepas berbalas serangan - Utusan Malaysia

Iran nafi runding dengan Amerika Syarikat selepas berbalas serangan

AMERIKA Syarikat dan Iran berbalas serangan hujung minggu lalu.. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kementerian Luar Iran pada Isnin menafikan laporan bahawa pasukan teknikal Iran dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan pertemuan dalam beberapa hari akan datang bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Kedua-dua pihak telah saling berbalas serangan di rantau Teluk sejak beberapa hari ke­belakangan ini, sekali gus me­nguji ketahanan gencatan senjata yang masih rapuh.

“Tiada mesyuarat teknikal kumpulan kerja yang dirancang pada minggu ini,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, seperti dipetik tele­visyen kerajaan, merujuk kepada minggu bekerja di negara itu yang berakhir pada Jumaat.

Memetik pegawai AS, portal berita Axios pada Ahad me­laporkan bahawa Teheran dan Washington akan mengadakan pertemuan di Qatar pada Selasa bagi menyelesaikan pertikaian berhubung Selat Hormuz, laluan perairan strategik tersebut.

Laman berita CNN turut melaporkan kenyataan yang sama daripada seorang pegawai pentadbiran Presiden Do­nald Trump tetapi  Rumah Putih masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Qatar bersama Pakistan, ber­tindak sebagai pengantara dalam rundingan antara Iran dan AS yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat.

Perbincangan terbaharu an­tara Teheran dan Washington berlangsung di Switzerland pada 21 Jun, dengan kehadiran delegasi dari keempat-empat negara terbabit. 

Qatar, yang terletak di seberang Teluk berhadapan Iran, memainkan peranan penting dalam aspek kewangan run­dingan tersebut. 

Sebelum ini, AS dan Iran dilaporkan bersetuju untuk menghentikan permusuhan serta menyambung semula rundi­ngan di Doha, Qatar pada Selasa.

Menurut laporan itu, lokasi rundingan telah dipindahkan dari Switzerland yang sebelum ini dirancang sebagai tempat perbincangan mengenai program nuklear Iran.

Sebaliknya, rundingan kali ini akan memberi tumpuan kepada isu Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi utama perdagangan dan eksport tenaga dunia.

Perubahan itu dibuat susulan pertempuran kembali tercetus akibat perbezaan tafsiran terhadap memorandum persefahaman (MoU) bagi menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari.

Perbezaan tafsiran itu turut melibatkan  peruntukan mengenai pelayaran di Selat Hormuz, laluan perairan strategik tersebut.

Pada Sabtu, Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Iran selepas Teheran menyerang sebuah kapal dagang berhampiran Selat Hormuz.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lapan pangkalan tentera AS di Kuwait serta Bahrain.

Seorang pegawai kanan AS memberitahu Axios bahawa Washington telah memutuskan untuk menghentikan serangan ketenteraan dan tindakan ofensif lain bagi memberi ruang kepada rundingan diteruskan.

Terdahulu pada Ahad, The Wall Street Journal melaporkan bahawa rundingan antara AS dan Iran telah ditangguhkan selepas permusuhan kembali tercetus.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak April, kete­gangan sekali-sekala terus tercetus di rantau Teluk, terutama di Selat Hormuz. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×