PETALING JAYA: Kebenaran pelepasan kargo dan kontena secara berperingkat dapat mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan negara.
Kebenaran itu juga dapat membantu pemain industri pelabuhan mengelakkan kerugian berganda serta dapat menjimatkan kos pembayaran penyimpanan kargo dan kontena di pelabuhan, selain kos sewaan kontena yang terpaksa ditanggung oleh syarikat perkapalan.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng dalam satu kenyataan berkata, sejak kebenaran tersebut diberikan oleh kerajaan, Pelabuhan Pulau Pinang telah melaksanakan empat kali pelepasan kargo dan kontena.
Pelepasan itu melibatkan pengendalian kontena eksport sebanyak 6,122 TEU (unit bersamaan 20 kaki) dan kontena import sebanyak 5,268 TEU.
Bagi pengendalian kargo pula katanya, ia melibatkan sebanyak 28,015 tan berat muatan (FWT) bagi kargo import, namun masih tiada pengendalian kargo eksport.
“Kendalian kontena melibatkan kontena yang diimport oleh pengilang dari seluruh Zon Utara Malaysia dan kontena yang dieksport ke Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Qingdao, China melalui Pelabuhan Klang.
“Situasi di Pelabuhan Pulau Pinang adalah di bawah kawalan dengan jumlah keseluruhan penggunaan yad masih berada di bawah paras 60 peratus,” katanya.
Teik Cheng berharap, semua pihak yang terlibat dapat bekerjasama dan berganding bahu dengan kerajaan dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi kini.
SPPP katanya, akan sentiasa membantu semua pihak sebagai pemudah cara sektor pelabuhan bersesuaian dengan peranannya sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan bagi Pelabuhan Pulau Pinang.
Beliau yang mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada hari ini, berpuas hati dengan pelaksanaan pelepasan kargo dan kontena secara
berperingkat di Pelabuhan Pulau Pinang sepanjang tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (Total Lockdown) fasa pertama pada Isnin, Rabu dan Jumaat bermula 18 Jun lalu. – UTUSAN










