DALAM kehidupan seharian, tidak semua orang yang terhimpit kelihatan miskin. Ada yang mempunyai pekerjaan tetap, tinggal di rumah sewa, menghantar anak ke sekolah, membayar ansuran kenderaan dan masih mampu membeli keperluan asas.
Namun, di sebalik kehidupan yang kelihatan biasa itu, ramai sebenarnya sedang bergelut untuk memastikan pendapatan bulanan cukup sehingga hujung bulan. Mereka bukan miskin secara mutlak, tetapi semakin tertinggal daripada arus kehidupan yang semakin mahal.
Inilah wajah baharu kemiskinan yang wajar diberikan perhatian serius iaitu kemiskinan relatif. Berbeza dengan kemiskinan mutlak yang mengukur kemampuan isi rumah memenuhi keperluan asas minimum, kemiskinan relatif melihat kedudukan seseorang atau isi rumah berbanding taraf hidup masyarakat sekeliling.
Seseorang mungkin masih mampu makan, bekerja dan mempunyai tempat tinggal tetapi pendapatannya terlalu rendah berbanding kos hidup dan taraf kehidupan semasa. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka sukar menikmati kehidupan sosial dan ekonomi yang lebih seimbang, walaupun mereka masih mampu memenuhi keperluan asas harian.
Data rasmi Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan bahawa pada 2024, kadar kemiskinan mutlak Malaysia menurun kepada 5.1 peratus, manakala Purata Pendapatan Garis Kemiskinan ialah RM2,705 sebulan.
Namun, pada masa yang sama, kadar kemiskinan relatif masih berada pada 16.7 peratus, dengan garis kemiskinan relatif ditetapkan pada RM3,509 sebulan iaitu separuh daripada pendapatan penengah isi rumah kasar negara.
Angka ini hampir tidak berubah berbanding 16.6 peratus pada 2022. Ini memberi isyarat bahawa walaupun kemiskinan mutlak menurun, sebahagian rakyat masih berada dalam keadaan tertinggal secara relatif.
Hakikatnya, isu kemiskinan hari ini tidak boleh lagi dilihat hanya melalui persoalan “cukup makan atau tidak”.
Kemiskinan juga berkait dengan kemampuan membayar sewa rumah, menyediakan pendidikan anak, mendapatkan rawatan kesihatan, memiliki akses digital, membuat simpanan kecemasan dan menikmati kehidupan yang stabil.
Isi rumah yang berpendapatan rendah mungkin tidak dikategorikan sebagai miskin tegar, tetapi mereka tetap hidup dalam keadaan rapuh.
Sedikit kejutan seperti kehilangan kerja, kenaikan sewa, kerosakan kenderaan atau kecemasan kesihatan boleh menolak mereka ke dalam krisis kewangan.
Menurut DOSM, pada 2024, pendapatan median isi rumah di Malaysia ialah RM7,017 sebulan, manakala pendapatan purata isi rumah pula RM9,155.
Namun, angka purata dan median tidak semestinya menggambarkan tekanan sebenar yang dialami oleh sesebuah isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal di bandar, mempunyai ramai tanggungan atau hanya bergantung kepada seorang pencari nafkah.
DOSM juga melaporkan bahawa purata saiz isi rumah di Malaysia ialah 3.7 orang dengan hanya 1.8 orang yang berpendapatan.
Ini bermakna, untuk memahami beban kewangan sesebuah keluarga, kita perlu melihat pendapatan mereka bersama-sama dengan struktur keluarga dan bilangan tanggungan, bukan hanya pada angka pendapatan semata-mata.
Laporan Gaji dan Upah 2024 oleh DOSM merekodkan gaji penengah bulanan rakyat Malaysia pada RM2,793, meningkat daripada RM2,602 pada 2023.
Kenaikan ini penting, namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada kenaikan gaji tersebut benar-benar memadai untuk menampung kos makanan, pengangkutan, sewa, utiliti, pendidikan anak dan simpanan masa depan.
Tekanan ini lebih jelas apabila dilihat dalam konteks harga barangan dan perbelanjaan harian. Pada Mac 2026, inflasi Malaysia meningkat 1.7 peratus, manakala inflasi makanan dan minuman kekal menjadi komponen penting kerana kumpulan ini menyumbang hampir 29.8 peratus daripada wajaran Indeks Harga Pengguna.
Walaupun kadar inflasi keseluruhan Malaysia kelihatan sederhana, pengalaman rakyat di pasar, kedai makan dan stesen minyak sering berbeza.
Bagi isi rumah berpendapatan rendah, kenaikan kecil harga makanan boleh memberi kesan besar kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk perbelanjaan asas.
Kemiskinan relatif juga berkait rapat dengan isu jurang sosial. Walaupun pekali Gini Malaysia menurun daripada 0.404 pada 2022 kepada 0.390 pada 2024, menandakan jurang pendapatan semakin mengecil, penurunan ini tidak bermaksud semua isi rumah telah menikmati kesejahteraan yang sama.
Jurang pendapatan yang lebih kecil adalah perkembangan positif, tetapi masih wujud perbezaan keupayaan antara isi rumah untuk menyimpan, memiliki rumah, mendapat pendidikan berkualiti dan membina mobiliti sosial.
Lebih membimbangkan, kemiskinan relatif boleh melahirkan kesan sosial yang panjang. Anak-anak daripada keluarga yang tertinggal mungkin mempunyai akses lebih terhad kepada tuisyen, peranti digital, pemakanan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Ibu bapa pula hidup dalam tekanan kewangan yang berterusan, menyebabkan kesejahteraan emosi dan hubungan keluarga turut terjejas. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mewujudkan kitaran ketidaksamaan antara generasi iaitu anak-anak daripada keluarga terhimpit berisiko mewarisi keterbatasan peluang yang sama.
Oleh itu, dasar membasmi kemiskinan tidak boleh hanya tertumpu kepada bantuan tunai semata-mata. Bantuan seperti pemindahan tunai, subsidi bersasar dan sokongan makanan asas tetap penting kerana ia membantu meringankan beban segera rakyat.
Namun, untuk menangani kemiskinan relatif, negara memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.
Ini termasuk memperluas peluang pekerjaan bergaji wajar, meningkatkan perlindungan sosial, memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran, menyediakan perumahan mampu milik yang benar-benar mampu dibayar serta memastikan kos perkhidmatan asas tidak menekan isi rumah rentan.
Konsep gaji kehidupan wajar juga perlu diberi perhatian. Pada 2025, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa penanda aras gaji kehidupan wajar bagi pelaksanaan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan ditetapkan sekitar RM3,100 sebulan, berpandukan panduan Belanjawanku 2024/2025.
Angka ini lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang mula dilaksanakan pada Februari 2025. Ia menunjukkan bahawa gaji minimum belum tentu mencukupi untuk membina kehidupan yang stabil, terutama bagi pekerja di bandar dan mereka yang mempunyai tanggungan.
Kemiskinan relatif juga tidak boleh difahami hanya dalam kerangka B40 semata-mata. Dalam realiti semasa, terdapat juga sebahagian isi rumah M40, malah kelompok T20 bawah yang mempunyai pendapatan lebih tinggi tetapi masih berdepan tekanan hidup yang ketara.
Mereka mungkin memiliki pekerjaan profesional, tinggal di kawasan bandar, mempunyai rumah, kenderaan dan pendidikan anak yang lebih baik.
Namun, di sebalik kedudukan yang kelihatan stabil, komitmen bulanan seperti ansuran rumah, pinjaman kenderaan, kos penjagaan anak, pendidikan, rawatan kesihatan, insurans, cukai, utiliti dan kos makanan menyebabkan baki pendapatan boleh guna semakin terhad.
Bagi sebahagian M40, kenaikan kos sara hidup boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan “terhimpit di tengah-tengah” tidak cukup miskin untuk melayakkan mereka menerima bantuan dan tidak cukup kukuh untuk menyerap tekanan ekonomi.
Bagi sebahagian T20 bawah, status pendapatan yang tinggi secara statistik mungkin menyembunyikan kerentanan sebenar, khususnya apabila mereka tinggal di bandar besar dengan kos perumahan dan perkhidmatan yang jauh lebih mahal.
Dalam konteks ini, kemiskinan relatif bukan sekadar isu jumlah pendapatan tetapi isu kemampuan sebenar untuk hidup stabil, menyimpan, merancang masa depan dan menghadapi kejutan ekonomi.
Maka, pengelasan isi rumah berdasarkan B40, M40 dan T20 perlu dilihat secara lebih kontekstual. Kategori pendapatan penting untuk tujuan dasar tetapi ia tidak semestinya mencerminkan keseluruhan realiti kehidupan.
Dua isi rumah dengan pendapatan yang sama boleh mempunyai tahap kesejahteraan yang berbeza bergantung kepada lokasi, bilangan tanggungan, hutang, status pekerjaan, kos kesihatan dan akses kepada perkhidmatan asas.
Justeru, dasar sosial dan ekonomi masa hadapan perlu lebih peka kepada konsep pendapatan boleh guna, kos hidup setempat dan kerentanan isi rumah, bukan hanya melihat jumlah pendapatan kasar semata-mata.
Isu kemiskinan relatif menuntut kita melihat kemiskinan dengan kaca mata yang lebih luas.
Tidak cukup jika masih ramai rakyat hidup tanpa simpanan, tanpa perlindungan dan tanpa ruang untuk memperbaiki masa depan.
Mereka mungkin tidak miskin menurut ukuran asas tetapi mereka tetap tertinggal dalam perlumbaan kehidupan yang semakin mahal.
Malaysia tidak boleh hanya berpuas hati apabila rakyat mampu bertahan.
Matlamat pembangunan negara seharusnya lebih besar daripada itu, iaitu memastikan rakyat mampu hidup dengan sejahtera, mempunyai peluang untuk maju dan tidak terus terperangkap dalam keadaan “cukup-cukup makan”.
Dalam wajah baharu ekonomi hari ini, kemiskinan bukan hanya tentang ketiadaan wang, tetapi juga tentang ketiadaan pilihan, ketiadaan perlindungan dan ketiadaan peluang untuk keluar daripada tekanan hidup yang berpanjangan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










