Iran tidak akan wujud jika AS terpaksa sambung perang - Trump - Utusan Malaysia

Iran tidak akan wujud jika AS terpaksa sambung perang – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata Iran tidak akan lagi wujud jika AS terpaksa menyambung semula perang dan  menuduh Teheran melanggar perjanjian gencatan senjata.

Ancaman itu dibuat selepas tentera AS memaklumkan bahawa mereka melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Iran pada Sabtu sebagai satu lagi tindakan balas terhadap serangan ke atas perkapalan di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik.

“Pesawat Amerika  baru sahaja menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran, serta tapak radar pantai kerana melanggar perjanjian gencatan senjata sekali lagi” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

“Mungkin akan tiba satu ketika apabila kami tidak lagi mampu bertolak ansur dan akan terpaksa menamatkan secara ketenteraan apa yang telah kami mulakan dengan begitu berjaya. Jika itu berlaku, Republik Islam Iran tidak akan lagi wujud,” tambahnya..

Pertempuran itu meningkatkan lagi ketegangan dalam proses rundingan yang bertujuan menamatkan perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada penghujung Februari.

Ia juga menyerlahkan risiko berterusan yang dihadapi oleh salah satu laluan laut paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan komoditi lain.

Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan pada Sabtu itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan dron Iran ke atas kapal tangki minyak berbendera Panama, Kiku yang membawa kira-kira dua juta tong minyak mentah.

Tentera AS berkata, serangan terbaharu itu menyasarkan infrastruktur pemantauan, sistem komunikasi, tapak pertahanan udara, kemudahan simpanan dron dan keupayaan meletakkan periuk api laut.

Media Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di kawasan Sirik dan Qeshm di selatan negara itu.

Pada Jumaat, AS turut melancarkan serangan yang menurutnya sebagai tindak balas terhadap satu lagi serangan Iran ke atas sebuah kapal, Ever Lovely.

Iran berkata pada Sabtu bahawa ia telah menyerang sasaran AS di Teluk sebagai tindak balasnya sendiri. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×