Peluasan subsidi diesel bersasar pulihkan pasaran automotif

Peluasan subsidi diesel bersasar pulihkan pasaran automotif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluasan pelaksanaan subsidi diesel bersasar kepada pemilik MyKad yang layak dijangka merangsang semula aktiviti penjualan kenderaan pacuan empat roda (pikap) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjejas sebelum ini.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut mampu memulihkan semula keyakinan pengguna serta menggalakkan bakal pembeli meneruskan pelan perolehan kenderaan mereka yang tertangguh ekoran pelarasan harga bahan api itu.

Menurut persatuan, sejak harga runcit diesel diapungkan mengikut kadar pasaran pada 10 Jun 2024 daripada RM2.15 seliter kepada RM4.07 seliter, pasaran kenderaan berkuasa diesel mengalami penyusutan ketara.

“Permintaan terhadap kenderaan berkuasa diesel menunjukkan trend penurunan yang drastik dengan data jualan bagi segmen trak pikap dan SUV di Semenanjung Malaysia mencatatkan kemerosotan hampir 25 peratus.

“Oleh itu, mekanisme baharu yang membenarkan pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad serta tambahan kuota 100 liter menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter sebulan bagi pemilik pikap dan SUV yang layak. Langkah ini positif bagi mengimbangi kos mobiliti rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, pihaknya menyokong penuh pendekatan fiskal bersasar kerajaan dan berharap skim bantuan berkenaan dapat diperluaskan lagi bagi merangkumi segmen kenderaan pelbagai guna (MPV).

Beliau berkata, langkah memperuntukkan kuota tambahan 100 liter kepada pasaran MPV berkuasa diesel tidak akan menjejaskan unjuran perbelanjaan kerajaan secara agregat kerana saiz pasarannya yang kecil.

“Saranan ini wajar dipertimbangkan memandangkan model MPV berkuasa diesel hanya menyumbang sekitar satu peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tahunan negara.

“Peluasan ke atas segmen ini hanya akan memberikan impak fiskal yang sangat minimum kepada kantung negara, namun impak limpahannya adalah besar dalam mengurangkan kos sara hidup keluarga besar yang bergantung kepada kenderaan tersebut,” katanya. 

Tambah beliau, MAA sedia meneruskan sesi libat urus bersama kementerian berkaitan bagi memastikan setiap instrumen dasar yang diperkenalkan kekal kondusif untuk memacu pertumbuhan industri automotif tempatan secara mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×