ASEAN gagal tangani isu Myanmar

ASEAN gagal tangani isu Myanmar

SAIFUDDIN Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kebanjiran etnik Rohingya di rantau ASEAN tidak menemui titik penyelesaian selagi tiada kesepakatan dalam kalangan negara anggota berhubung penyelesaian aman bagi menamatkan konflik Myanmar.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, cabaran terbesar yang dihadapi Malaysia dan ASEAN ialah kegagalan mendapatkan konsensus dalam kalangan negara anggota berhubung kaedah pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Katanya, 5PC diwujudkan sebagai pendekatan diplomasi yang mengutamakan dialog berbanding tekanan langsung terhadap junta selepas rampasan kuasa tentera Myanmar pada 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun kelemahan utama 5PC ialah matlamat akhir yang konkrit dan sukar diukur serta menjadikan pelaksanaannya kabur dan mudah diabaikan oleh junta tanpa sebarang akibat.

“ASEAN justeru itu perlu lebih tegas dalam menangani krisis Myanmar yang telah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dengan menggantikan kerangka baharu lebih berkesan.

“5PC telah gagal. Perlu ada kerangka baharu yang mempunyai jalan keluar kemelut Myanmar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilaporkan berkata, lawatan beliau ke Myanmar pada Mei lalu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap kerajaan baharu negara itu dan tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia serta ASEAN berhubung pelaksanaan 5PC.

Selain itu, Saifuddin berkata, isu pelarian dan jenayah rentas sempadan yang semakin membimbangkan negara jiran seperti Malaysia dan Thailand adalah isu serius yang perlu ditangani segera.

Katanya, langkah itu tidak bermakna Malaysia dan negara anggota ASEAN perlu mengadakan pertemuan dengan wakil junta Myanmar yang dilihat seolah mengiktiraf pihak merampas kuasa.

“Isu tersebut tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menormalisasi hubungan dengan junta kerana berbuat demikian hanya akan mengukuhkan cengkaman kuasa berkenaan.

“ASEAN perlu berunding dengan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) sebagai kerajaan yang mewakili kehendak rakyat Myanmar bukan dengan junta yang mengambil alih kuasa secara tidak sah.

“Yang ada itu bukannya kerajaan tetapi rejim tentera yang merampas kuasa,” katanya.

Katanya, pihak terlibat sepatutnya mengambil pendekatan mengadakan pertemuan bersama wakil Kerajaan Perpadua Negara iaitu badan yang dipilih secara sah dan demokratik oleh rakyat Myanmar melalui pilihan raya.

“Selagi ASEAN terus berinteraksi dengan junta sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, selagi itulah junta akan terus berasa selesa mengabaikan desakan antarabangsa untuk kembali kepada landasan demokrasi,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini