Hukuman bekas Wanita Pertama Korea Selatan ditambah tujuh tahun lagi

Hukuman bekas Wanita Pertama Korea Selatan ditambah tujuh tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun lagi pada Jumaat selepas didapati bersalah menerima hadiah mewah sebagai balasan membantu urusan pelantikan jawatan.

Keon Hee, 53, yang kini sedang menjalani hukuman penjara empat tahun atas kesalahan rasuah dan manipulasi saham, disabitkan menerima barangan berharga bernilai tinggi daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan mendapatkan layanan istimewa dalam pelantikan kakitangan.

Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan Keon Hee tanpa teragak-agak menerima barangan berharga yang sukar dimiliki oleh rakyat biasa walaupun sekali seumur hidup.

Beliau didakwa pada Disember tahun lalu atas pertuduhan tambahan, termasuk menerima barang kemas bernilai keseluruhan 103 juta won (RM274,227).

Antara barang kemas yang menjadi bahan bukti ialah rantai leher Van Cleef & Arpels, kerongsang Tiffany dan sepasang subang Graff, yang didakwa diterima daripada seorang taikun pembinaan pada 2022 sebagai balasan mendapatkan bantuan dalam urusan pelantikan.

Sebagai balasan, Keon Hee didakwa menawarkan bantuan untuk mendapatkan jawatan kepada menantu lelaki ahli perniagaan terbabit.

Mahkamah turut mendapati beliau bersalah menerima sebuah patung kura-kura emas bernilai 2.65 juta won daripada seorang ahli politik serta jam tangan mewah Vacheron Constantin bernilai 39 juta won daripada seorang usahawan yang mengendalikan perniagaan ‘anjing robot’.

Pada prosiding akhir perbicaraan pada 15 Mei lalu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun enam bulan terhadap Kim atas pertuduhan menyalahgunakan pengaruh bagi mendapatkan imbuhan sebagai balasan kepada urusan pelantikan dan bantuan.

Beliau didakwa berulang kali menerima wang dan barangan berharga dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai isteri kepada bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, yang kini turut dipenjarakan susulan percubaan singkat dan kontroversi untuk mengisytiharkan darurat tentera pada 2024.

Keon Hee bagaimanapun menafikan semua tuduhan dan menegaskan walaupun beliau menerima hadiah berkenaan, ia tidak disertakan sebarang permintaan untuk mendapatkan layanan atau bantuan istimewa.

Dikenali sebagai pencinta haiwan dan lantang memperjuangkan larangan perdagangan daging anjing di Korea Selatan, Keon Hee sebelum ini turut dikaitkan dengan beberapa skandal yang sering membayangi pentadbiran suaminya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×