PBB bimbang penggunaan dadah sintetik makin meningkat

PBB bimbang penggunaan dadah sintetik makin meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Penggunaan dadah di seluruh dunia semakin meningkat, termasuk peningkatan membimbangkan terhadap dadah sintetik baharu yang kuat dan berbahaya, menurut amaran agensi pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dalam Laporan Dadah Dunia 2026 menganggarkan 331 juta orang menggunakan bahan terlarang itu pada 2024.

Jumlah itu bersamaan 6.2 peratus daripada populasu dunia berusia antara 15 hingga 64 tahun, meningkat berbanding 5.2 peratus pada 2014.

Kanabis kekal sebagai dadah paling banyak digunakan di seluruh dunia pada 2024, diikuti opioid, amfetamin, kokain dan ekstasi, menurut UNODC.

Bagaimanapun, opioid sintetik baharu seperti fentanyl, nitazenes dan orphines, yang digunakan sebagai pengganti heroin, semakin mudah diperoleh.

“Kami menyaksikan peningkatan luar biasa dalam kemunculan jenis dadah baharu di pasaran, dan lebih membimbangkan, sebahagiannya jauh lebih kuat serta berbahaya berbanding sebelum ini,” kata Ketua UNODC, Monica Juma, dalam satu kenyataan.

Menurut UNODC, pengeluar dadah terus menghasilkan dadah sintetik baharu dalam usaha mengelak peraturan serta menghindari pengesanan pihak berkuasa.

Agensi itu berkata, rampasan dadah pada 2024 mendedahkan jumlah jenis dadah yang dikesan adalah lima kali ganda lebih banyak berbanding sebelum tahun 2000.

“Jumlah bahan psikoaktif baharu (NPS) yang dilaporkan berada dalam pasaran dadah mencecah 755 jenis pada 2024, dengan 118 daripadanya dikenal pasti buat kali pertama,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut menyatakan pasaran candu dan heroin global masih terjejas teruk susulan larangan penanaman popi yang diperkenalkan oleh Taliban di Afghanistan pada 2022.

Keadaan itu mendorong pengedar dadah beralih kepada alternatif sintetik seperti fentanyl.

“Peralihan daripada opioid berasaskan tumbuhan kepada opioid sintetik berpotensi mengubah secara kekal pasaran opioid global, dengan implikasi terhadap corak penggunaan dadah serta risiko mudarat yang dibawanya,” menurut UNODC.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×