LONDON: Ahli politik veteran Parti Buruh, Andy Burnham semakin hampir untuk menjadi Perdana Menteri Britain baharu.
Ini kerana seorang menteri kerajaan pada Rabu menolak kemungkinan melawan Burnham bagi menggantikan Perdana Menteri Keir Starmer yang bakal berundur bulan depan.
Darren Jones, sekutu rapat Starmer, sebelum ini disebut-sebut oleh beberapa ahli Parlimen sebagai calon berpotensi untuk merebut jawatan tertinggi kerajaan. Bagaimanapun, Jones yang dilihat lebih cenderung ke arah kanan dalam parti berhaluan tengah kiri itu memberitahu Sky News, bertanding bukan sesuatu yang akan beliau lakukan.
Keputusan itu menghapuskan satu lagi halangan dalam laluan pantas Burnham menjadi perdana menteri selepas beliau yang merupakan bekas Datuk Bandar Greater Manchester menang dalam pilihan raya kecil parlimen minggu lalu.
Pencalonan bagi jawatan pemimpin Parti Buruh akan dibuka pada 9 Julai dan ditutup pada 16 Julai, bermakna Burnham, 56, boleh menjadi perdana menteri seawal keesokan harinya jika tidak berdepan sebarang pencabar.
Pada Isnin, Starmer yang menjadi perdana menteri pada 2024 mengumumkan akan meletakkan jawatan selepas menerima tekanan hebat daripada ahli parlimen daripada partinya dan pentadbirannya dibelenggu pelbagai kesilapan, perubahan dasar, skandal serta peletakan jawatan menteri.
Kewibawaan Starmer semakin merosot sejak parti Buruh mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya tempatan dan wilayah pada Mei lalu. – AGENSI










