TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran memberi amaran terhadap sebarang pelayaran melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran akan dianggap sebagai pelanggaran serius dan kapal yang gagal mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan.
Masa depan Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran tenaga yang ditutup Iran pada 28 Februari. Ia kemudian dibuka dan ditutup semula kerana perang, kini menjadi antara isu utama dalam rundingan antara Teheran dan Washington.
Iran sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengenakan bayaran perkhidmatan maritim ke atas kapal yang menggunakan laluan tersebut, manakala Amerika Syarikat (AS) menegaskan selat tersebut adalah perairan antarabangsa dan tidak sepatutnya dikenakan sebarang bayaran.
“Satu-satunya laluan yang dibenarkan untuk pelayaran melalui Selat Hormuz adalah laluan yang diumumkan oleh Republik Islam Iran,” kata Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan semalam.
Menurut kenyataan itu, sebarang pelayaran tanpa kebenaran adalah tidak boleh diterima dan amat berbahaya.
Pengawal Revolusi turut mengecam pengumuman mengenai laluan baharu di Selat Hormuz oleh pihak berkuasa tertentu tanpa mengulas lanjut.
Selat Hormuz merupakan laluan perairan sempit yang terletak antara Iran dan negara-negara Teluk, biasanya menjadi laluan bagi kira-kira 20 peratus penghantaran minyak mentah serta gas asli cecair (LNG) dunia.
Ketika ini, satu-satunya laluan yang dibenarkan oleh Iran adalah koridor pelayaran yang mengikuti pantai negara itu.
Memorandum persefahaman (MoU)yang ditandatangani antara Teheran dan Washington minggu lalu bagi menamatkan perang menetapkan kapal dagang boleh melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan bayaran selama 60 hari.
Bagaimanapun, ketika Iran dan AS masih meneruskan rundingan, belum jelas apakah mekanisme yang akan dilaksanakan selepas tempoh tersebut berakhir.
Iran dan Oman, yang turut berkongsi sempadan dengan Selat Hormuz, pada Selasa mengumumkan akan meneliti kadar bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan berkaitan pengurusan laluan strategik itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington tidak akan menerima sebarang tol atau bayaran dikenakan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.
Rubio berkata, beliau percaya semua negara menentang sebarang tindakan Iran mengenakan bayaran atau tol ke atas kapal yang menggunakan laluan perkapalan strategik dunia itu.
“Saya tidak mengetahui mana-mana negara di dunia yang menyokong kutipan tol atau bayaran bagi penggunaan selat itu,” kata Rubio ketika mengadakan lawatan ke rantau Teluk bagi meyakinkan sekutu rapat AS yang terjejas teruk akibat tindakan Iran semasa perang Asia Barat baru-baru ini. – AGENSI











