RAWANG: Bekas suami Adira Suhaimi, Datuk Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red mengesahkan bakal menamatkan zaman dudanya dengan wanita pilihan hati dikenali sebagai Rohanita pada Julai depan.
Datuk Red, 46, berkata, dia tidak merancang untuk mengadakan majlis pernikahan secara besar-besaran sebaliknya berhasrat mahu melaksanakannya secara sederhana dengan dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Alhamdulillah, saya rancang untuk melangsungkan majlis pernikahan pada Julai ini di Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, saya kini berada dalam fasa yang membahagiakan. Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak mengenai majlis tersebut kerana tidak mahu timbul pelbagai tanggapan termasuk dakwaan kononnya saya belum move on daripada bekas isteri,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tuntutan pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat di sini semalam.
Menurutnya, majlis berkenaan juga boleh dianggap majlis kesyukuran yang akan diraikan bersama keluarga.
“Hanya majlis sederhana dengan jamuan makan bersama keluarga dan kenalan rapat,” katanya ringkas.
Kehadiran Datuk Red ke mahkamah semalam turut ditemani Rohanita yang difahamkan merupakan seorang usahawan yang juga ibu tunggal kepada seorang anak.
Sebelum ini, Datuk Red bercerai talak satu dengan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim atau Datin Red di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 13 Mei 2024.
Beliau sebelum itu turut bercerai talak satu dengan penyanyi Adira pada penghujung April 2024.-UTUSAN











