PARIS: Perancis mengumumkan kes pertama Ebola yang disahkan di negaranya melibatkan seorang doktor yang pulang dari Republik Demokratik Congo.
Congo kini sedang berdepan wabak besar penyakit berbahaya itu.
Kes tersebut merupakan jangkitan pertama demam berdarah Ebola yang dikesan di luar benua Afrika dalam wabak semasa, yang turut menjejaskan Uganda.
Ia juga merupakan kali pertama Perancis mengesan kes Ebola dalam wilayahnya sendiri. Ketika wabak di Afrika Barat pada 2014, dua pesakit telah dibawa ke Perancis untuk rawatan, namun mereka disahkan dijangkiti sebelum tiba di negara itu.
Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan pihaknya mengenal pasti kes positif pertama penyakit virus Ebola selepas pesakit yang tiba di Paris pada Selasa itu menaiki penerbangan komersial dari Kinshasa dan ketika itu hampir tidak menunjukkan gejala, kecuali mengalami sakit kepala.
Menurut kementerian itu, keadaan doktor berkenaan sedikit merosot semasa penerbangan sebelum beliau segera diasingkan dan diberikan rawatan sebaik tiba di Paris, malah sebelum penyakit itu dikenal pasti secara rasmi.
Pesakit kini berada dalam keadaan stabil dengan tahap virus yang sangat rendah.
Syarikat penerbangan Air France mengesahkan doktor itu menaiki salah satu penerbangannya dan memaklumkan senarai penumpang telah diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Urusan menghubungi penumpang yang terlibat sedang dikendalikan oleh pihak berkuasa kesihatan,” menurut Air France.
Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist kemudian mengumumkan lima penumpang lain telah dikenal pasti sebagai kontak berpotensi dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Sebastien Lecornu berkata, beliau memantau situasi itu dengan teliti, namun Kementerian Kesihatan menegaskan risiko penularan masih rendah.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus turut menyatakan risiko global daripada wabak itu masih rendah.
Pertubuhan Kemanusiaan Perubatan Antarabangsa (ALIMA) mengesahkan pesakit itu adalah salah seorang doktornya.
Organisasi tersebut berkata, pihaknya sedang berusaha memahami bagaimana jangkitan itu boleh berlaku.
Kebiasaannya, pekerja kemanusiaan yang mempunyai kontak dengan pesakit Ebola diwajibkan menjalani kuarantin selama tiga minggu.
Menurut sumber diplomatik, beberapa mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan langkah susulan yang sesuai, termasuk kemungkinan sekatan pergerakan.
Wabak Ebola ke-17 di Congo diisytiharkan pada 15 Mei selepas beberapa kematian misteri dilaporkan di wilayah Ituri di timur negara itu, kawasan yang turut bergolak akibat aktiviti kumpulan bersenjata.
Berdasarkan angka rasmi terkini, lebih 1,000 kes telah direkodkan termasuk 267 kematian, bersamaan kadar kematian sekitar 25 peratus.
Ramai pakar percaya jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana wabak itu menjejaskan kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Strain Bundibugyo yang menyebabkan wabak kali ini masih belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Vaksin Ebola sedia ada yang dibangunkan antara 2018 dan 2019 hanya berkesan terhadap strain Zaire yang bertanggungjawab mencetuskan wabak-wabak besar sebelum ini.
Pada Mei lalu, seorang pakar bedah AS yang dijangkiti Ebola di DRC diterbangkan ke Jerman untuk rawatan.
Hospital di Berlin mengumumkan awal bulan ini pesakit tersebut telah pulih selepas menjalani rawatan selama 17 hari.
Doktor berkenaan, dikenali sebagai Peter Stafford, menerima rawatan termasuk terapi eksperimen yang masih dalam peringkat ujian bagi virus tersebut.
Pakar kesihatan awam bagaimanapun berpendapat risiko wabak itu merebak ke seluruh dunia kekal rendah kerana virus Ebola tidak mudah berjangkit berbanding beberapa penyakit berjangkit lain.-AFP











