PETALING JAYA: Cadangan mewujudkan sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional mampu memperkukuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) khususnya dalam mengesan pendaki yang sesat di kawasan hutan dan gunung.
Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, pihaknya menyokong cadangan itu kerana mampu membantu meningkatkan aspek keselamatan pendaki.
Katanya, kerajaan perlu membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan pendaki membuat pendaftaran sebelum memulakan aktiviti, sekali gus membolehkan maklumat mereka diakses oleh pihak berkuasa dan malim gunung jika berlaku kecemasan.
“Kami bersetuju dengan cadangan itu namun kerajaan perlu membangunkan aplikasi khas supaya pendaki dapat membuat pendaftaran dengan lebih mudah bagi setiap aktiviti yang dijalankan.
“Sistem ini sememangnya dapat membantu operasi SAR namun ia tidak dapat menghalang kejadian pendaki sesat, hilang atau cedera.
“Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diberi keutamaan bukan sahaja bagi aktiviti pendakian tetapi juga semua aktiviti rekreasi kerana setiap satunya mempunyai risiko keselamatan tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan aktiviti mendaki gunung dan bukit yang semakin popular dalam kalangan masyarakat kini dibayangi risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 63 kematian direkodkan daripada 1,059 kes kemalangan membabitkan aktiviti pendakian di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Bagi tempoh sama, sebanyak 87 kes kecederaan turut direkodkan.
Dalam pada itu, Muzafar berpandangan sikap mengambil mudah aspek keselamatan dan persiapan sebelum mendaki sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian kemalangan serta kehilangan pendaki.
Katanya, kebanyakan mereka terutama pendaki baharu sering memandang ringan aspek keselamatan dengan tidak membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan pendakian.
Jelasnya, keadaan itu menunjukkan tahap kesedaran masyarakat terhadap risiko aktiviti rekreasi masih rendah dan perlu dipertingkatkan melalui kempen pendidikan yang lebih menyeluruh.
“Perkara ini berlaku apabila minat untuk mendaki mengatasi kesedaran terhadap keperluan asas keselamatan. Ramai tidak mengambil tahu perkara yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan pendakian manakala kempen kesedaran berkaitan keselamatan juga masih tidak mencukupi.
“Selepas kes kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, barulah kita melihat lebih banyak kempen kesedaran mengenai aktiviti pendakian termasuk langkah yang perlu diambil sekiranya sesat dan sebagainya,” katanya.
Mengulas cadangan mewajibkan penggunaan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) bagi semua aktiviti pendakian, beliau berkata, langkah itu tidak wajar dilaksanakan kerana tahap risiko setiap lokasi dan aktiviti adalah berbeza.
Katanya, Jabatan Perhutanan sendiri ketika ini hanya mewajibkan penggunaan malim gunung di kawasan tertentu yang dikenal pasti mempunyai tahap risiko lebih tinggi.
“Pada saya, keperluan menggunakan malim gunung bukan sahaja bergantung kepada jenis aktiviti tetapi juga lokasi pendakian.
“Tidak semua gunung atau aktiviti rekreasi mempunyai tahap risiko yang memerlukan khidmat malim gunung diwajibkan. Sebab itu Jabatan Perhutanan juga tidak mengenakan syarat tersebut di semua lokasi,” katanya.-UTUSAN.











