Titian Kanopi Seberang Ara tarikan baharu taman negara

Titian Kanopi Seberang Ara tarikan baharu taman negara

PENGUNJUNG melalui jambatan di Titian Kanopi Seberang Ara hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Titian Kanopi Seberang Ara berdekatan Sungai Tahan menjadi tarikan baharu Taman Negara Kuala Tahan di sini, apabila mula menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Ia adalah titian kanopi kedua yang dibina dua tahun lalu sepanjang 701.10 meter terdiri daripada 15 buah platform dan 14 buah jambatan setinggi antara lima hingga 35 meter dari aras tanah.

Pemandu pelancong Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, pembukaan laluan kedua ‘jambatan’ yang dihubungkan antara pokok ke pokok di hutan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun itu mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Taman Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi pelancong yang gemar melihat pelbagai jenis tumbuhan dan spesies liar serta serangga dari aras tinggi, laluan kanopi ini sangat sesuai untuk merakamkan gambar dari lensa kamera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sabri berkata, titian panjang antara platform lebih signifikan dan selesa buat pengunjung untuk melihat flora dan fauna melibatkan hidupan liar yang berada di lapisan silara berbeza.

“Pengunjung perlu melalui pemeriksaan permit masuk di rakit kelah, kemudiannya menaiki bot penambang terus ke jeti Titian Kanopi Seberang Ara hanya cuma berjalan kaki 200 meter sebelum tiba di pusat pendaftaran masuk permulaan menaiki kanopi tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bird Groups Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, pembukaan titian kanopi baharu antara kemudahan bagi penggemar unggas melihat dari dekat dengan menggunakan binokular di samping dapat menyedut udara segar di aras tinggi.

“Titian kanopi Sebarang Ara adalah fenomena baharu pembangunan sektor pelancongan khususnya untuk meningkatkan jumlah pelancong luar khususnya dari negara Eropah yang sangat gemar melihat dengan pelbagai spesies burung di hutan tropika Taman Negara,” katanya.

Ujarnya, destinasi baharu yang terletak berdekatan dengan pusat inap pelancong mudah dikunjungi sekali gus dapat menambahkan pendapatan terutamanya bagi pemandu alam sekitar (Natural Guide) dan pengusaha bot pelancong di Taman Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini