Durian harga RM1.50 sekilo laris, 20 tan habis dalam sehari

Durian harga RM1.50 sekilo laris, bekalan 20 tan habis dalam sehari

MOHD. Syarul Iman Mohd. Saupi menunjukkan bekalan duriannya di gerai Kampung Kubang Batang Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/FOTO ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tawaran durian kampung pada harga RM1.50 sekilogram menyebabkan kira-kira 20 tan metrik raja buah itu habis dijual dalam sehari di sebuah gerai menjual buah-buahan di Kampung Kubang Batang, di sini.

Pemilik gerai, Mohd. Syarul Iman Mohd. Saupi, 25, berkata, dia menawarkan harga rendah kerana mahu memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang menikmati raja buah itu.

“Niat saya mudah, saya mahu semua orang dapat merasa durian pada musim ini. Durian kampung yang dijual pada harga RM1.50 sekilogram memang menjadi rebutan pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami benarkan pelanggan memilih sendiri buah yang diingini, mengisinya ke dalam plastik dan menimbangnya. Pembelian juga tidak dihadkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Mohd. Syarul berkata, sambutan menggalakkan menyebabkan dia terpaksa menambah belakan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, lima lori durian kampung dijangka tiba di gerainya pada Sabtu ini bagi menampung permintaan yang terus meningkat.

“Bekalan durian ini diperoleh dari Perak dan Dabong, Kelantan. Saya sudah menjual durian pada harga RM1.50 sekilogram sejak minggu lalu. Insya-Allah, harga kekal sehingga musim durian berakhir,” ujarnya.

Katanya, dia turut menawarkan durian kahwin yang dijual pada harga RM40 dan RM60 bagi setiap plastik.

“Gerai saya beroperasi seawal pukul 9 pagi setiap hari dan promosi jualan banyak dilakukan menerusi siaran langsung di platform TikTok di mana pelanggan mengetahui jadual ketibaan bekalan durian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN