KUALA TERENGGANU: Ketika kebanyakan anak muda seusianya lebih cenderung memilih kerjaya moden dan dianggap lebih glamor, seorang pemuda dari Marang tekad mempertahan warisan seni pembuatan tembaga yang semakin kehilangan pelapis.
Bagi Najib Rusyaidi Rosli, 22, minat terhadap seni kraf tradisional itu mendorongnya menyertai program latihan pembuatan tembaga di bawah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) meskipun menyedari bidang tersebut memerlukan kesabaran.
Pemuda yang berasal dari Kampung Pengkalan Kuin itu berkata, dia tidak mahu mensia-siakan bakat seni yang dimilikinya sejak di bangku sekolah.
“Saya memang minat bidang seni sejak di sekolah. Walaupun ramai kawan memilih pekerjaan lain yang lebih moden dan nampak lebih menarik, saya rasa rugi kalau bakat yang ada tidak dimanfaatkan.
“Pada mulanya saya hanya melihat hasil kraf tembaga dan rasa ia sangat cantik. Dari situ timbul keinginan untuk belajar menghasilkan sendiri produk tembaga,” katanya ketika ditemui di Pusat Inkubutor Kraftangan di sini.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, seni pertukangan tembaga yang pernah menjadi kebanggaan Terengganu kini berdepan cabaran getir untuk terus bertahan ekoran persaingan.
Najib berkata, pada awal program terdapat tiga peserta namun hanya dia yang masih kekal.
“Sekarang tinggal saya seorang. Mungkin kerana bidang ini agak sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi saya mahu teruskan kerana saya percaya seni warisan ini perlu ada generasi muda yang mempertahankannya,” katanya.
Sementara itu, tukang tembaga berpengalaman, Shaiful Sani Zakaria berkata, seseorang pelatih memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menguasai kemahiran asas pembuatan tembaga.
“Namun, cabaran utama ketika ini ialah mencari anak muda yang sanggup bertahan dan bersabar untuk mempelajari seni warisan ini,” katanya.
Dia berharap lebih ramai golongan belia tampil menyertai bidang tersebut agar seni pembuatan tembaga tidak lenyap ditelan zaman.-UTUSAN










