PERPUSTAKAAN sering dianggap sebagai gedung ilmu yang menyimpan himpunan buku dan pelbagai sumber maklumat. Namun, bagi sebahagian individu, perpustakaan membawa makna yang lebih besar.
Ia bukan sekadar ruang membaca, sebaliknya menjadi tempat membina keyakinan diri, mengembangkan potensi serta membuka laluan kepada impian yang ingin dicapai.
Bagi pelajar autistik, cabaran di institusi pengajian tinggi bukan hanya berkaitan pencapaian akademik. Mereka turut berdepan dengan persekitaran pembelajaran yang kompleks, cabaran interaksi sosial serta keperluan terhadap rutin dan sokongan yang konsisten.
Keadaan ini memerlukan pendekatan yang lebih memahami agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam komuniti universiti.
Dalam situasi ini, perpustakaan memainkan peranan penting sebagai ruang pembelajaran yang inklusif dan mesra pengguna. Pustakawan pula bukan sekadar menguruskan koleksi bahan bacaan, tetapi turut menjadi penghubung yang membantu pelajar berkeperluan khas mendapatkan akses kepada ilmu serta sokongan yang diperlukan.
Perpustakaan Dar al-Hikmah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sentiasa berusaha memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan kepada pengguna berkeperluan khas. Pelbagai usaha dilaksanakan bagi memastikan semua warga universiti dapat menikmati akses kepada sumber ilmu tanpa mengira latar belakang atau keupayaan masing-masing.
Namun, perkara yang lebih bermakna ialah nilai kemanusiaan yang ditunjukkan oleh para pustakawan dalam melayani setiap pengguna. Sikap prihatin, kesediaan membantu dan kefahaman terhadap keperluan individu menjadikan perpustakaan lebih daripada sekadar tempat mendapatkan maklumat.
Perpustakaan juga menyokong pelajar orang kurang upaya (OKU) melalui penyediaan sumber pendidikan yang lebih fleksibel seperti buku audio, e-buku serta bahan bacaan dalam format yang disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Kemudahan ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar dengan lebih selesa dan yakin.
Persekitaran perpustakaan yang inklusif turut membuka ruang kepada pelajar berkeperluan khas untuk berinteraksi bersama rakan-rakan lain tanpa batasan. Penglibatan dalam aktiviti literasi, program pendidikan dan komuniti akademik membantu meningkatkan perkembangan intelektual, emosi serta sosial mereka.
Antara contoh yang membuktikan peranan besar perpustakaan ialah perjalanan akademik mahasiswa Doktor Falsafah (PhD), Nur Arif Jasmin, seorang pelajar autistik yang aktif menulis dan berkongsi pengalaman hidupnya. Beliau telah menghasilkan beberapa karya penting seperti Fiqh Autisme 1, Fiqh Autisme 2 dan karya terbaharu, Autisme Bukan Ciptaan Rosak.
Buku Autisme Bukan Ciptaan Rosak diterbitkan secara bersama oleh Jejak Tarbiah dan Unit Perkhidmatan OKU (Disability Services Unit, DSU) UIAM. Karya tersebut bukan sahaja mengetengahkan isu autisme daripada perspektif pengalaman sebenar, malah turut merakamkan penghargaan kepada individu yang memainkan peranan besar sepanjang perjalanan kehidupan dan pengajiannya.
PENGHARGAAN KEPADA PUSTAKAWAN
Dalam karya tersebut, Nur Arif Jasmin turut memberikan penghargaan kepada pustakawan UIAM yang banyak membantu sepanjang tempoh pengajian beliau. Pengiktirafan ini menggambarkan bahawa peranan pustakawan jauh melangkaui tugas mengurus bahan rujukan.
Mereka turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih mesra, memahami keperluan pelajar autistik serta menyediakan sokongan yang membolehkan mahasiswa meneruskan perjalanan akademik dengan lebih baik.
Hubungan yang terbina antara pustakawan dan pelajar berkeperluan khas menunjukkan profesion ini mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Kadangkala, kehadiran seorang pustakawan yang memahami dan bersedia mendengar mampu memberikan keyakinan kepada seseorang pelajar untuk terus melangkah.
Namun, penghargaan dalam buku tersebut bukan hanya tertumpu kepada pustakawan. Nur Arif Jasmin turut mengiktiraf sumbangan pegawai kaunseling dan pensyarah UIAM yang memberi sokongan sepanjang perjalanan akademik beliau. Kejayaan seseorang mahasiswa tidak terbina secara bersendirian, sebaliknya lahir daripada sokongan pelbagai pihak yang memainkan peranan dalam membentuk keyakinan serta potensi diri.
Menariknya, buku Autisme Bukan Ciptaan Rosak turut mendapat sambutan menggalakkan apabila menjadi antara karya yang mendapat perhatian ramai sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Pelancarannya juga bertepatan dengan sambutan Hari Pustakawan Malaysia pada 6 Jun.
Antara bab yang mencuri perhatian ialah “Kak Azizah Nur – Pustakawan dari Langit”, selain bab “Kak Wan Salwati dan Ruang Keperluan Khas”, “Kak Yana, Human Library Saya” serta penghargaan kepada Suhani Saarani menerusi bab “Mengatasi Sensory Overload”.
Catatan tersebut membuktikan sumbangan pustakawan bukan sekadar dinilai melalui jumlah koleksi atau statistik perkhidmatan, tetapi melalui kesan yang mereka tinggalkan dalam kehidupan pengguna.
CAKNA TERHADAP AUTISME
Penerbitan buku tersebut juga menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu autisme. Lebih penting, ia membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami pengalaman individu autistik berdasarkan suara dan pengalaman mereka sendiri.
Sambutan terhadap karya ini menggambarkan perubahan positif dalam masyarakat yang semakin menerima kepelbagaian neurodiversiti serta menghargai peranan sokongan yang diperlukan oleh golongan autistik.
Kisah ini membawa mesej bahawa perpustakaan moden bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku. Ia merupakan institusi yang membina manusia, memperkukuh hubungan sosial dan membuka peluang kepada setiap individu untuk berkembang.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital yang semakin berkembang, nilai empati, keprihatinan dan sentuhan manusia tetap menjadi elemen yang tidak boleh digantikan.
Di sebalik kejayaan seorang mahasiswa autistik menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat, terdapat ramai insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut. Pustakawan, pensyarah, pegawai kaunseling dan warga universiti lain mungkin tidak sentiasa berada di pentas utama, namun sumbangan mereka membentuk kisah kejayaan yang bermakna.
Inilah hakikat sebenar peranan perpustakaan dan warga ilmu, mereka bukan hanya menguruskan maklumat tetapi menyentuh kehidupan manusia. –UTUSAN
PENULIS ialah Pustakawan, Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










