LONDON: Ahli politik veteran Parti Buruh, Andy Burnham, menerima sambutan seperti wira di Dewan Rakyat kelmarin selepas beliau dilihat semakin hampir untuk menjadi Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu susulan pengumuman peletakan jawatan Keir Starmer kelmarin.
Burnham, yang memenangi pilihan raya kecil minggu lalu, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen sebelum disambut penyokong dan rakan parti Buruh di Dewan Rakyat.
Beliau kemudian mengangkat genggaman tangan sebagai tanda kemenangan dan merakam swafoto bersama kira-kira 200 Ahli Parlimen parti itu yang hadir.
Antara yang memberikan tepukan kepada Burnham ialah Wes Streeting, bekas menteri yang sebelum ini dianggap pencabar utamanya bagi jawatan perdana menteri.
Perkembangan itu dilihat mengukuhkan lagi kedudukan Burnham untuk merealisasikan cita-citanya memimpin parti Buruh dan berpindah ke Pejabat Perdana Menteri di 10 Downing Street.
Burnham, dianggap mewakili kelompok ‘kiri sederhana’ dalam parti itu dan berpegang kepada pendekatan sosialis pro-perniagaan. Beliau pernah dua kali bertanding bagi jawatan pemimpin parti namun tewas kepada Ed Miliband pada 2010 dan Jeremy Corbyn pada 2015.
Beliau mula menjadi Ahli Parlimen pada 2001 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tony Blair dan Gordon Brown.
Beliau meninggalkan Parlimen pada 2017 untuk bertanding jawatan Datuk Bandar Greater Manchester. Tiga kemenangan berturut-turut dalam pilihan raya dan pendiriannya yang tegas mempertahankan kepentingan wilayah itu membolehkannya digelar ‘Raja Utara’.
Burnham menyifatkan kempen beliau untuk kembali ke Parlimen dan mencabar Starmer sebagai ‘peluang terakhir untuk mengubah’ parti Buruh.
Selepas mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya kecil di kawasan Makerfield, barat laut England, beliau berikrar untuk memastikan kawasan yang selama ini diabaikan mendapat layanan adil.
Dalam ucapan di luar 10 Downing Street pada Isnin,, Starmer, yang memegang jawatan sejak Julai 2024, mengaku beliau telah kehilangan sokongan Ahli Parlimen daripada parti Buruh pimpinannya.
“Saya akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga proses pemilihan selesai dan saya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan teratur,” katanya.
Starmer berkata, beliau telah meminta Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Buruh menetapkan jadual bagi memilih penggantinya dengan pencalonan dijadual dibuka pada 9 Julai.
Sejak kebelakangan ini, Burnham secara terbuka mengkritik Starmer berhubung pemotongan kebajikan dan menggesa beliau mengetengahkan visi yang lebih berhaluan kiri untuk parti Buruh.
Dalam tempoh sedekad lalu, Burnham juga muncul sebagai antara pemimpin wilayah paling dikenali di Britain. – AFP










