KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang membongkar kegiatan penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) secara haram apabila menyerbu sebuah stor tidak berlesen dalam Ops Tiris 4.0 Bersepadu di sini, kelmarin, dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM405,338.
Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan hasil risikan selama dua minggu dan maklumat awam itu mendapati sebuah kawasan berpagar dijadikan lokasi penyimpanan LPG tanpa kebenaran sah, sekali gus disyaki melanggar peruntukan di bawah undang-undang berkaitan.
“Pasukan penguatkuasa menemukan sejumlah besar LPG disimpan dalam sebuah treler dan sebanyak 829 tong LPG pelbagai kapasiti disimpan di lokasi berkenaan.
“Siasatan mendapati premis itu tidak memiliki lesen atau sebarang kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan barang kawalan berjadual sebagaimana ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang,” katanya di sini, semalam.
LPG, tong LPG, dokumen berkaitan, sebuah treler dan barangan lain dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu disita dan disiasat bawah Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122].
KPDN Pahang memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang menyalahi undang-undang.
Kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961. Jika orang itu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
“Atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Mana-mana individu diberi amaran untuk tidak terlibat dalam aktiviti penyimpanan, pengedaran atau urus niaga barang kawalan berjadual yang melanggar peruntukan undang-undang.
Penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa terpelihara dan tidak disalahguna pihak tidak bertanggugjawab. – UTUSAN











