JOHOR BAHRU: Semua sekolah perlu melaksanakan intervensi segera ke atas pelajar yang dikenal pasti menunjukkan tanda-tanda kesihatan mental bagi memastikan kebajikan dan keselamatan terus terpelihara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, selain peranan pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memberi sokongan kepada anak masing-masing dalam mendepani isu berkenaan.
“Fakta berbeza untuk setiap kes yang berlaku. Tetapi, kita telah ambil langkah drastik dan melihat keseluruhan isu ini. Isu kesihatan mental juga menjadi keutamaan kita ketika ini.
“Pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah juga kita beri perhatian dan jika ada tanda-tanda ini (masalah psikologi), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot Madani dan Program Kalvi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal di sini, semalam.
Beliau berkata sebagai mengulas insiden pelajar jatuh bangunan sehingga menyebabkan kematian yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini termasuk kes terbaharu yang berlaku di Ipoh, Perak, kelmarin.
Pada Oktober 2025, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan menggandakan pelaksanaan Program Saringan Minda Sihat kepada dua kali setahun bagi membolehkan pengesanan awal terhadap pelajar menunjukkan tanda kemurungan atau memerlukan sokongan serta intervensi lanjut.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang diperkenalkan pihaknya wajib dilaksanakan oleh semua pentadbir sekolah tanpa sebarang kompromi.
Katanya, usaha itu adalah antara langkah yang dilakukan kementerian dalam memastikan segala isu terkait dengan keselamatan murid terus diberikan keutamaan.
Menurut Fadhlina, semua pentadbir sekolah turut diingatkan untuk meningkatkan tahap keselamatan di peringkat sekolah, khususnya keselamatan pelajar.
“Ibu bapa diminta untuk bersama mendukung isu kesihatan mental dengan memerhati keadaan anak-anak dan mengambil langkah intervensi bagi memastikan isu ini sentiasa diberikan keutamaan.
“Kita komited memastikan isu-isu yang terkait dengan keselamatan ini terus diberikan keutamaan. Langkah-langkah diambil ini akan dipantau semua pihak dan komuniti terkait dengan sekolah demi memastikan keselamatan sekolah ini,” katanya.-UTUSAN










