ROTTERDAM: Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten kelmarin secara rasmi memohon maaf atas layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap ribuan askar Maluku yang pernah berjuang untuk tentera kolonial Belanda ketika perang kemerdekaan Indonesia.
Kira-kira 12,500 individu merangkumi anggota yang berkhidmat dalam Tentera Hindia Timur Diraja Belanda (KNIL) dan keluarga mereka berhijrah dari kepulauan Indonesia ke Belanda pada 1951.
Kebanyakan daripada mereka tidak diberikan sebarang pilihan. Pada waktu itu, mereka menyangka perpindahan tersebut hanya evakuasi sementara selepas Indonesia mencapai kemerdekaan.
Kumpulan tentera itu berharap sebuah Republik Maluku akan ditubuhkan selepas tempoh enam bulan berada di sana.
Bagaimanapun, mereka sebaliknya diberhentikan secara paksa daripada perkhidmatan tentera, dilarang bekerja dan mengundi serta ditempatkan di kawasan penempatan daif termasuk bekas kem transit Nazi di Westerbork.
Impian menubuhkan republik tersebut tidak pernah menjadi kenyataan malah ada dalam kalangan mereka yang tidak pernah membuka bagasi masing-masing sehingga ke akhir hayat.
Bercakap dalam majlis perasmian monumen nasional di persisiran pelabuhan Rotterdam iaitu lokasi kapal terakhir mereka berlabuh, Jetten menzahirkan kekesalan yang mendalam bagi pihak kerajaan.
“Atas tindakan memberhentikan mereka sebagai tentera secara kejam dan tidak terhormat, atas penerimaan serta penyediaan penempatan yang serba kekurangan, atas tindakan mengabaikan termasuk meminggirkan mereka, atas kerinduan yang tidak berkesudahan terhadap tanah air serta atas kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh begitu banyak keluarga Maluku untuk semua ini, saya memohon maaf hari ini bagi pihak kerajaan Belanda,” kata Jetten.
Langkah ini bukan sahaja sudah lama ‘tertunggak’, malah amat diperlukan jika kita mahu melangkah ke hadapan, tambahnya. – AGENSI










