KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat parti sebelum ini tidak dikira sebagai lompat parti.
Hal itu dirujuk kepada beberapa pemimpin terlibat seperti Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad dan beberapa ahli Parlimen lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, seseorang wakil rakyat yang dipecat daripada parti tidak boleh dianggap melompat parti kerana tindakan tersebut berlaku selepas keahliannya ditamatkan.
“Kalau dipecat, kerusi itu kerusi dia dan dia ada hak untuk buat apa sahaja. Dia bukan lompat tetapi tindakan itu dibuat sebab dia kena pecat. Pecat itu bermaksud kalau dia masih ahli, kemudian seseorang ahli Parlimen itu lompat ke parti lain.
“Tetapi kalau dalam kes itu, dia bukan dikira lompat kalau dia dipecat. Kiranya seperti dia kena ‘bunuh’ lah,” katanya ketika ditemui di Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa dakwaan yang tular di media sosial berhubung kedudukan ahli Parlimen berkenaan yang dikatakan melanggar Akta Anti Lompat Parti.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, seseorang ahli Parlimen yang masih menjadi ahli parti tidak boleh sewenang-wenangnya meninggalkan parti kerana kerusi yang dimenanginya dikaitkan dengan parti yang diwakilinya ketika pilihan raya.
“Jadi, apabila dia sudah kena pecat, kerusi itu kerusi dia. Kalau dia masih ahli parti, dia tidak boleh lari. Ini kerana kerusi tersebut kepunyaan parti.
“Persoalannya sekarang, kenapa parti pecat dia,” soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditemui berkata, pengiktirafan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul terhadap Hamzah sebagai presiden sebuah parti yang berdaftar membuktikan Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai ke atas beliau.
“Sebaik sahaja Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangun dan menyatakan bahawa Ahli Parlimen Larut merupakan presiden sebuah parti yang berdaftar, dan Speaker Dewan Rakyat mengiktiraf perkara itu. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak terpakai kepada individu seperti beliau yang telah dipecat daripada parti asalnya.
“Pengiktirafan tersebut mengesahkan kedudukan beliau sebagai presiden sebuah parti politik yang sah berdaftar.
“Jadi, apa yang berlaku membuktikan bahawa tidak ada kesalahan atau tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti sekiranya mereka ini yang tidak berparti, sekarang menyertai mana-mana parti-parti, termasuklah orang seperti Larut. Dan saya rasa pengesahan speaker itu penting,” katanya. –UTUSAN











